Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Gesa lantik wakil khas sebagai perantara bagi akhiri sengketa Myanmar

Kelembapan proses damai dapat keprihatinan
Jun 09, 2021 | 05:30 AM



BEIJING: Menteri Ehwal Luar Singapura dan Indonesia kelmarin menggesa rakan-rakan serantau untuk mempercepat usaha menangani krisis di Myanmar susulan kudeta pada 1 Februari lalu, dan melantik seorang wakil khas sebagai perantara bagi mengakhiri konflik itu.



Gesaan itu dibuat di Mesyuarat Khas Menteri Luar Asean dan China di bandar Chongqing, barat daya China.



Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, menyuarakan rasa tidak senang dengan kelembapan dalam menangani krisis itu yang telah mengorbankan 800 orang, yang dilaporkan telah dibunuh oleh pasukan keselamatan semasa berlakunya bantahan.



"Sejujurnya, kami sangat kecewa dengan kemajuan yang sangat, sangat perlahan," katanya kepada wartawan selepas mesyuarat tersebut.



"Malangnya, kami tahu ada orang awam yang masih cedera, atau dibunuh, dan tidak ada tahanan politik yang dibebaskan. Tidak ada tanda-tanda nyata bagi dialog dan rundingan politik yang bermakna," tambahnya.



Meskipun kemajuan sangat lembab, beliau berkata: "Jangan putus berharap."



Rakan sejawatannya dari Indonesia, Cik Retno Marsudi, menggesa pelaksanaan serta-merta "lima teras perjanjian" yang disepakati para pemimpin Asean di sidang puncak khas di Jakarta, ibu kota Indonesia, pada 24 April lalu, yang turut dihadiri pemimpin junta, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.



"Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Myanmar dan pengembalian demokrasi mesti menjadi keutamaan kami," kata Cik Retno semasa sidang media maya dari Chongqing.



Di mesyuarat di Jakarta, pemimpin Asean, termasuk Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, dan Presiden Indonesia, Encik Joko 'Jokowi' Widodo, menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik di Myanmar untuk menghentikan keganasan dengan serta-merta dan mengawal keadaan.



Asean juga bertindak menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar.



Pemimpin Asean juga bersetuju bahawa Brunei, sebagai pengerusi Asean, akan melantik wakil khas untuk menjadi perantara bagi menangani krisis dengan bantuan dari setiausaha agung Asean, Encik Lim Jock Hoi.



Wakil khas dan satu delegasi akan ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak dalam krisis ini.



Sokongan China untuk Asean meneruskan dengan kesepakatan ini, tambah Cik Retno, "amatlah dihargai, kerana ia akan menyumbang kepada usaha mencapai huraian damai untuk krisis ini".



Sedang Asean mengekalkan prinsip tidak campur tangan dalam isu dalaman anggotanya, kedua-dua menteri mengulangi sokongan serantau dalam memudahkan usaha damai menerusi dialog di antara pihak-pihak terlibat.



Mereka menggesar rejim tentera Myanmar untuk lebih komited.



Cik Retno berkata, wakil khas yang dilantik harus diberi ruang untuk bercakap dengan semua pihak "kerana tanpa keupayaan untuk berhubungan dengan semua pihak, ia adalah sukar untuk wakil khas menjalankan tanggungjawabnya".



Dr Balakrishnan berkata: "Pelantikan wakil khas Asean hanya masuk akal jika ada keinginan sebenar dari kalangan Myanmar sendiri untuk usaha dialog, rundingan dan perdamaian."



Mesyuarat menteri-menteri luar ini adalah susulan lawatan setiausaha agung Asean dan Menteri Kedua Ehwal Luar Brunei, Encik Erywan Pehin Yusof, ke Naypyitaw, ibu kota Myanmar, pada Jumaat lalu, bagi membincangkan krisis di Myanmar dan kedua-dua menteri turut menimbulkan isu Laut China Selatan semasa mesyuarat tersebut, di mana China mengemukakan tuntutan kedaulatan bagi kawasan laut itu, yang turut dituntut hak pemilikannya oleh Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan. - The Straits Times.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >