Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Harga telur di M'sia, Indonesia buat penternak, pengguna resah

Jul 25, 2022 | 05:30 AM



APABILA wabak Covid-19 melanda sejak lebih dua tahun lalu, rantaian bekalan sejagat agak terjejas dan telah menyebabkan gangguan besar kepada perjalanan bekalan tanaman dan makanan.



Ini kemudian diburukkan oleh pencerobohan Russia ke atas Ukraine, dua pengeluar utama beberapa barangan asas, makanan dan bahan tenaga. Akibatnya, berlaku inflasi tinggi bagi kebanyakan bahan dan makanan.



Ini termasuk harga makanan ayam, yang kemudiannya menaikkan kos penternakan ayam dan pengeluaran telur di dua negara jiran, Malaysia dan Indonesia.



MALAYSIA: Harga telur boleh naik



Di Malaysia, harga telur dikatakan boleh meningkat ekoran kekurangan bekalan selepas ladang ternakan ayam di negara itu mengurangkan pengeluaran disebabkan kos meningkat, selain subsidi terbatas serta harga siling yang ditetapkan.



Penutupan kira-kira 40 peratus ladang ternakan ayam - kemerosotan daripada lebih 300 kepada hanya 170 - memburukkan keadaan.



Penternak ladang ayam yang masih beroperasi berkata mereka memerlukan jumlah subsidi lebih baik untuk membantu harga telur kekal rendah.



Sebilangannya mereka menyatakan ada kemungkinan mereka juga berhenti beroperasi jika keadaan tidak berubah.



Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia, Encik Lee Yoon Yeau, berkata perang di Ukraine telah menaikkan lagi harga tepung jagung dan kacang soya sebanyak 50 peratus antara April dengan Jun.



"Dua bahan ini membentuk lebih 80 peratus makanan ayam. Sejak wabak dua tahun lalu, penternak telah bergelut kerana kos makanan semakin meningkat.



"Dulu jagung berharga RM800 ($252) setan sebelum wabak. Semasa Covid-19, ia naik kepada RM1,300 setiap tan. Sekarang lebih RM1,800 satu tan," katanya, lapor The Star.



Kacang soya, tambahnya, kini berharga lebih RM2,650 satu tan, meningkat daripada RM1,650 pada Januari 2020.



Encik Lee berkata walaupun kerajaan Malaysia menetapkan harga siling pada RM0.35 sebiji (Gred C) dari 5 Februari hingga 30 Jun, kos pengeluaran telah meningkat kepada RM0.45 sebiji.



"Jadi, dengan subsidi lima sen bagi setiap telur, kita rugi lima sen. Dengan pengeluaran harian semasa 28 juta tan, kerugian ialah RM1.04 juta sehari dan RM42 juta sebulan untuk penternak," terangnya.



Bagi Julai dan Ogos, kerajaan Malaysia mengumumkan kenaikan harga siling sebanyak dua sen setiap telur, tanpa perubahan pada subsidi.



Encik Lee berkata persekutuan itu mahukan subsidi lapan sen setiap telur agar setiap telur dapat dijual pada harga kos.



Beliau berkata ramai penternak kecil telah tutup kedai, manakala ladang besar telah mengurangkan pengeluaran, kerana mereka tidak boleh beroperasi dengan kerugian.



"Jika kerajaan tidak berminat memberi subsidi munasabah, ia sepatutnya membenarkan harga diapungkan dan membiarkan kuasa pasaran yang menentukan," katanya sambil menambah, harga terapung bukan perkara baru di Malaysia kerana, pada masa lalu, harga telur dikawal hanya semasa musim perayaan.



Akibatnya, individu, keluarga dan perniagaan yang menggunakan telur mungkin perlu membelanjakan lebih banyak jika tiada langkah diambil untuk membantu petani.



Ini memandangkan telur adalah bahan utama dalam banyak makanan. Kenaikan harganya boleh menyebabkan kenaikan harga banyak makanan yang dimasak dan dijual peniaga kecil dan besar, selain bahan yang dijual di kedai roti.



INDONESIA: Penternak ayam hadapi kos tinggi



Di Indonesia, penternak ayam telah secara berterusan menghadapi masalah berkaitan harga telur selepas harga makanan ayam meningkat 30 peratus sejak September 2020.



Penternak seperti Encik Suwardi, 48 tahun, terpaksa menjual 2,000 daripada 8,000 ekor ayam miliknya di ladangnya di Kendal, Jawa Tengah, bersama tiga ekor lembu, untuk mengekalkan perniagaannya.



Pada bulan-bulan sebelumnya, beliau mengalami kerugian bulanan sekitar 36 juta rupiah ($3,400).



Namun, memandangkan harga telur yang dijual petani kepada pengedar telah meningkat kepada 25,000 rupiah sekilogram pada awal Jun, berbanding 20,000 rupiah sekilogram pada Disember lalu, beliau kini bukan sahaja pulang modal bahkan dapat meraih keuntungan antara 5 dengan 10 peratus, sama seperti yang diperolehinya dua tahun lalu.



Ini didorong kenaikan kuasa beli rakyat Indonesia sedang ekonomi negara itu semakin pulih selepas sekatan Covid-19 dilonggarkan, dan permintaan lebih tinggi bagi telur.



"Keseimbangan baru ini baik buat penternak ayam dan tidak membebankan pengguna," kata Encik Suwardi kepada The Straits Times.



"Sebenarnya, kami sanggup menjual telur pada harga 20,000 rupiah sekilogram, tetapi pemerintah mesti pastikan ketersediaan makanan ayam pada tahap berpatutan dan bukan membiarkannya berada di bawah kuasa pasaran bebas," kata Encik Suwardi, yang ladangnya menghasilkan kira-kira 300 kilogram telur sehari.



Namun, kenaikan kos penternakan telur dan ayam telah dialihkan kepada pengguna, yang sudah pun menghadapi harga makanan asas lain yang lebih mahal seperti bawang merah dan cili.



Di Jakarta, harga telur ayam di pasar tradisional melonjak 30 peratus kepada 30,000 rupiah sekilogram baru-baru ini. Kenaikan sama juga berlaku di Bogor dan Bekasi, Jawa Barat.



"Biasanya, harga telur turun selepas Hari Raya Aidilfitri," kata Encik Mukroni, yang memiliki dua gerai makanan di Bekasi.



"Apa yang berlaku sekarang adalah satu perkara di luar kebiasaan."



Pengerusi Persatuan Gerai Makanan Tradisional Indonesia itu berkata rakan-rakan pemilik gerai makannya kecewa dan cuba memikirkan apa yang boleh mereka jual jika harga bahan mentah terus meningkat.



Pengerusi Persatuan Pengeluar Makanan dan Minuman Indonesia, Encik Adhi Lukman, pula berkata kenaikan harga telur - bahan utama untuk menghasilkan mi dan biskut - dan bahan lain seperti gandum, kacang soya, jagung, gula dan perasa merupakan sebab utama kepada kos pengeluaran lebih mahal.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >