Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Hari Kartini kenang ibu kebangkitan wanita Indonesia

Apr 25, 2024 | 11:00 PM



“Perempuan harus berani bermimpi, berani bertindak, dan berani menjadi dirinya sendiri.” – Raden Ajeng Kartini


JAKARTA: Pada Hari Kartini yang disambut setiap tahun di Indonesia pada 21 April, Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo menggesa rakyat Indonesia supaya menjadikan Hari Kartini sebagai simbol perjuangan wanita, kepimpinan dan kekuatan mereka.


“Marilah kita jadikan Hari Kartini bukan sekadar satu upacara, tetapi sebagai simbol perjuangan wanita untuk kepimpinan dan kekuatan mereka,” tulis Encik Jokowi di akaun Instagram rasmi beliau, @jokowi.

Encik Jokowi berkata Hari Kartini adalah peringatan perjalanan panjang wanita dalam mencari kesamarataan dan mengucapkan Selamat Hari Kartini kepada semua wanita Indonesia, lapor Antara.


Dalam hantarannya, beliau menyertakan video pendek ilustrasi Kartini, disertai dengan lagu, ‘Ibu Kita Kartini’ oleh Wage Rudolf Supratman.

Setiap 21 April, Indonesia akan meraikan Hari Kartini. Ia dianggap sebagai hari yang penting untuk menghargai jasa sosok pahlawan negara.

Beliau disanjungi ramai kerana sangat berjasa dalam memperjuangkan kebangkitan wanita Indonesia sejak zaman penjajahan, selain memperjuangkan keadilan dan kesamaan jantina di Indonesia.

Sejarah kebebasan wanita dari segi hak dan kebajikan di Indonesia tidak dapat dipisahkan dengan perjuangan Raden Ajeng Kartini Djojo Adhiningrat, atau lebih dikenali dengan nama R.A. Kartini.

Dilahirkan pada 21 April 1879 di Jepara, Jawa Tengah, beliau adalah anak bangsawan Jawa kelima R.M. Adipati Ario Sosrodiningrat, bupati Jepara, dan cucu kepada Pangeran Ario Tjondronegoro, bupati (kepala daerah) Demak yang terkenal kerana sifatnya yang sentiasa inginkan kemajuan. 

Cik Kartini berasal daripada keluarga bangsawan Jawa yang terkemuka. Disebabkan beliau dilahirkan di dalam keluarga bangsawan, Cik Kartini berpeluang untuk bersekolah di sekolah Belanda semasa usianya enam tahun.

Pada 1964, presiden pertama Indonesia, Encik Sukarno, menetapkan Raden Ajeng Kartini sebagai Pahlawan Nasional dan juga menetapkan hari lahir Kartini pada 21 April sebagai hari nasional, atau Hari Kartini, lapor Antara.


Cik Kartini dikenang sebagai antara wanita pertama Indonesia yang berkempen bagi mendapatkan pendidikan, kebebasan dan kemerdekaan untuk kaum wanita, nasionalis dan pelopor emansipasi wanita Indonesia.

Menerusi penulisannya, beliau mencabar patriarki dan nilai tradisional yang menyekat kaum perempuan untuk membentuk masa hadapan mereka sendiri.

Beliau tidak bernikah pada usia yang muda, seperti perempuan lain pada ketika itu.

Sebaliknya, beliau bernikah pada usia 24 tahun dengan seorang pemangku raja dari Rembang bernama, Raden Adipati Joyodiningrat.

Beliau juga sentiasa berkomunikasi dengan seorang feminis dari Belanda, Cik Stella Zeehandelaar, dan beberapa pegawai Belanda mengenai pembebasan wanita Jawa daripada undang-undang dan tradisi yang menindas kaum Hawa.

Terinspirasi oleh keinginannya untuk mengubah keadaan, Cik Kartini berjaya mendirikan sebuah sekolah rendah untuk wanita peribumi yang menerima pelajar tanpa mengira status sosial mereka.

Cik Kartini juga banyak menulis dan mengkritik tentang tradisi kuno yang merencatkan masyarakatnya selain perihal kebangsawanan, penjajahan kolonial, isu agama serta masalah yang ‘merosakkan’ masyarakatnya.

Seperti yang ditukil oleh Tempo, Cik Kartini juga aktif menulis surat-surat yang beliau kirimkan kepada sahabatnya di Belanda.


Surat-surat tersebut kemudian dirangkum dalam sebuah buku dengan judul, Habis Gelap Terbitlah Terang.


Buku itu menggambarkan harapan serta pemikiran Cik Kartini dan upayanya dalam memperjuangkan hak perempuan Indonesia.

“Ketika kita memberi kesempatan kepada perempuan, kita memberi kesempatan pada masa depan,” tulis Cik Kartini dalam buku tersebut.

Cik Kartini meninggal dunia pada 17 September 1904, 10 bulan selepas perkahwinannya dengan suaminya Encik Djojoadiningrat.

Beliau baru sahaja melahirkan anak pertamanya empat hari sebelum itu.

Cik Kartini tidak sempat menjadi ibu kepada anaknya.

Sedangkan cita-citanya sebagai ibu digambarkan dalam suratnya: “Alangkah bahagianya laki-laki, apabila isterinya bukan hanya menjadi pengurus rumah tangganya dan ibu anak-anaknya saja, melainkan juga menjadi sahabatnya, yang menaruh minat akan pekerjaannya, menghayatinya bersama suaminya.”

Apabila Hari Kartini diraikan pada 21 April, pelbagai ucapan, kata-kata bijak, puisi singkat hingga pantun Kartini yang menyentuh hati seperti yang dilaporkan oleh Tempo.co:


Burung Elang terbang tinggi
Mencari ikan di tengah Samudera
Selamat datang Hari Kartini
Pahlawan sejati emansipasi wanita.


Malah kata-kata mutiara dihimpun oleh CNN Indonesia yang dikirimkan kepada teman-teman wanita di Hari Kartini 2024 seperti:


– Belajarlah mencintai diri sendiri dan menjadi lebih baik dari sekarang. Selamat Hari Kartini.

– Habis gelap terbitlah terang. Selamat Hari Kartini 2024!

– Hari ini adalah momen yang istimewa di mana kelahiran sosok wanita hebat yang menginspirasi dan menjadi simbol emansipasi wanita di Indonesia.

– Jadikan semangat juang Kartini sebagai motivasi perempuan di sekitar kita. Selamat Hari Kartini 2024. Jadilah terang dalam kegelapan. Selamat Hari Kartini untuk para wanita di Indonesia!




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >