Hujan dan ribut kencang landa beberapa kawasan di JB

JOHOR BAHRU: "Angin bertiup dengan kencang dan sekelip mata sebahagian bumbung kedai saya hilang diterbangkan angin."

Demikian kata pemilik kedai runcit, Cik Zaitun Shariff, 55 tahun, ketika menceritakan kejadian hujan disertai ribut kencang yang melanda beberapa kawasan di sekitar daerah ini termasuk kampungnya di Kampung Kangkar Tebrau di sini, lapor Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Cik Zaitun, hujan yang bermula pada 3 petang kelmarin itu diikuti ribut secara tiba-tiba setengah jam kemudian.

"Hujan tidak begitu lebat tetapi angin sangat kencang. Nasib baik saya dan beberapa pelanggan yang berada di dalam kedai tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mekanik, Encik Razwalid Mohd, 54 tahun, berkata beliau yang hendak menunaikan solat zuhur terkejut apabila terdengar bunyi kuat dari kawasan luar rumahnya.

"Saya memang tak berani nak keluar. Tetapi, apabila ribut dah reda saya keluar rumah dan dapati banyak pokok tumbang dan atap jiran rumah saya turut hilang diterbangkan angin," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandar Raya Johor Bahru (MBJB), Encik Nor Azhar Abdul Hamid, berkata kawasan yang terjejas adalah Kampung Kangkar Tebrau, Taman Bunga Ros, Taman Delima dan Taman Daya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan 30 pokok tumbang dengan sebahagiannya menghempap empat rumah penduduk.

"Di Kampung Kangkar Tebrau, sebuah rumah penduduk teruk terjejas akibat dihempap pokok menyebabkan empat sekeluarga terpaksa berteduh sementara di rumah saudara mereka.

"Di Taman Delima pula, kami menerima tiga laporan pokok menghempap rumah, namun tiada kecederaan atau kematian dilaporkan," katanya.

Encik Nor Azhar berkata pihaknya telah mengarahkan seramai 30 hingga 40 pekerja termasuk kontraktor membersihkan kawasan terlibat.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Tiram, Datuk Maulizan Bujang, yang melawat kawasan terjejas berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tebrau bagi menggerakkan usaha membantu mangsa yang terlibat.

Katanya, pihaknya juga akan menghubungi pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan agensi lain sekiranya diperlukan untuk memberi bantuan kepada mangsa.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 34
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.