Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Ibu bapa terdesak 'buang' anak yang bantah junta tentera Myanmar

Feb 08, 2022 | 05:30 AM



YANGON: Setiap hari sejak tiga bulan lalu, antara enam hingga tujuh keluarga di Myanmar meletak notis dalam akhbar yang dikuasai rejim tentera, menyatakan mereka telah memutuskan hubungan saudara dengan anak, anak saudara atau cucu yang terang-terangan membantah pemerintahan junta tentera negara itu.



Notis itu mula ketara November lalu selepas rejim tentera, yang merampas kuasa daripada pemerintahan demokrasi sejak setahun lalu, mengumumkan ia akan merampas harta benda pembangkang dan mereka yang ditangkap kerana memberi perlindungan kepada pembantah.



Banyak serbuan ke rumah dilakukan.



Seorang bekas penjual kereta, Encik Lin Lin Bo Bo, yang menyertai kumpulan bersenjata yang membantah pemerintahan tentera, salah seorang yang diputuskan hubungan oleh keluarganya, daripada 570 notis yang dilihat agensi berita Reuters.



"Kami mengisytiharkan bahawa kami telah memutuskan hubungan dengan Lin Lin Bo Bo kerana dia tidak pernah mendengar kehendak ibu bapanya," tertera notis yang dimuatkan ibu bapanya, San Win dan Tin Tin Soe, dalam akhbar pemerintah The Mirror November lalu.



Beliau, 26 tahun, memberitahu Reuters, dari pekan dekat sempadan Thailand tempat tinggalnya selepas meninggalkan Myanmar, ibunya berkata tindakan itu dibuat selepas tentera datang ke rumah mereka mencarinya. Beberapa hari kemudian, beliau menangis membaca notis itu di akhbar.



"Rakan seperjuang cuba memberi keyakinan kepada saya bahawa ia langkah tidak boleh dielak oleh keluarga dan mereka melakukanny dalam keadaan tertekan.



"Hati saya sangat luluh," ujar beliau.



Ibu bapanya enggan mengulas apabila dihubungi Reuters.



Dalam pada itu, penduduk kampung di Myanmar dan pejuang antikudeta menuduh tentera membakar ratusan rumah di barat laut negara itu, ketika junta berusaha menghapuskan kumpulan yang menentang pemerintahannya.



Tentera membalas protes besar-besaran terhadap kudeta tahun lalu dengan tindakan keras, dan keganasan meletus di seluruh Myanmar, dengan orang awam membentuk 'tentera pertahanan awam' (PDF) bagi melawan junta.



Seorang wanita dari kampung Bin di wilayah Sagaing berkata tentera Myanmar tiba di kampung itu Isnin pada 31 Januari.



"Mereka menggunakan artileri dan melepaskan tembakan sebelum masuk ke kampung," katanya semalam, memaklumkan bahawa penduduk melarikan diri akibatnya.



Wanita itu, yang enggan dinamakan, berkata, tentera kemudian membakar 200 rumah, termasuk rumahnya.



"Kami tidak sempat membawa apa-apa bersama kami. Kami hanya mengambil beberapa pakaian, kemudian terus melarikan diri," ujar beliau.



Seorang anggota pemberontak berkata tentera turut membakar rumah di kampung Inn Ma Hte lepas seorang militia yang menyokong junta diserang pasukan antikudeta.



"Apabila PDF meninggalkan kampung itu, tentera Myanmar membakar rumah di situ," katanya, sambil menambah bahawa kira-kira 600 rumah hangus.



Media tempatan melaporkan ratusan rumah dimusnahkan di dua kampung, dan gambar yang diperoleh agensi berita AFP, dipercayai di kampung Bin, menunjukkan saki-baki puluhan rumah yang hangus.



Pada 3 Februari, siaran televisyen milik rejim Myanmar mendakwa pejuang PDF memulakan kebakaran itu, dan menerbitkan gambar yang didakwanya rumah terbakar dan dimusnahkan oleh 'pengganas'. - Reuters, AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >