India timbang cara lain desak Pakistan lepas serbuan tentera

NEW DELHI: India sedang menimbangkan langkah-langkah ekonomi dan diplomatik baru untuk mengenakan tekanan terhadap Pakistan, melebihi serbuan pada Khamis (29 Sep) oleh pasukan khas India ke bahagian Kashmir yang dikuasai Pakistan.

Dalam pengakuan awam yang jarang berlaku, pegawai India berkata pasukan tentera elitnya melintasi sempadan de facto yang membahagikan negara itu di Himalaya dan membunuh beberapa militan yang ia percayai sedang merancang menyerang bandar-bandar utama India.

Serbuan itu tindak balas langsung terhadap serangan awal bulan ini ke atas sebuah pangkalan tentera di Kashmir yang India persalahkan ke atas militan berpangkalan di Pakistan.

Pakistan menafikan India telah melakukan serbuan ke atas wilayah Khasmir yang ditadbirnya dan berkata ia tidak terlibat dalam mencetuskan masalah di Kashmir yang dikawal India. Ia menuntut New Delhi menghasilkan bukti yang boleh dipercayai untuk menyokong dakwaannya.

Beberapa pegawai India berkata tentera negara itu tidak bercadang melakukan serangan lanjut atau serangan ketenteraan besar terhadap Pakistan.

Tetapi mereka berkata pemerintah Perdana Menteri Narendra Modi sedang membahaskan sama ada mahu menggunakan kekuatan ekonomi dan diplomatik New Delhi yang semakin meningkat untuk menekan Pakistan, yang satu perlima lebih kecil daripada India dan ekonominya tujuh kali lebih kecil.

"Tujuannya bukan untuk melintasi sempadan dan membunuh 10-12 orang," kata seorang pegawai keselamatan India yang terlibat dalam perundingan setiap hari sejak serangan 18 September ke atas pangkalan tentera di bandar sempadan Uri yang membunuh 18 askar India.

"Matlamatnya ialah membawa perubahan dalam tingkah laku Pakistan, dan untuk itu anda perlu bergerak di pelbagai peringkat.

"Strategi ini akan melibatkan semua instrumen kuasa negara. Tentera hanya salah satu pilihan," kata pegawai itu, yang meminta tidak dikenal pasti kerana sensitiviti isu tersebut.

Pilihan yang dipertimbang India termasuk menyukarkan perdagangan dengan Pakistan, yang berlaku melalui negara ketiga seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE), kata para pegawai.

New Delhi juga sedang menimbangkan membina empangan di sungai-sungai yang melalui Pakistan dan meningkatkan tekanan diplomatik, dengan harapan ia boleh menunjukkan bagaimana militan berpangkalan di Pakistan menjejas negara lain di dunia.

Menurut seorang pegawai, India boleh cuba menghalang syarikat antarabangsa menjalankan perniagaan di Pakistan.

Langkah-langkah yang sedang dipertimbang menunjukkan pendirian lebih tegas India di bawah pentadbiran nasionalis Encik Modi berbanding pemerintah sebelum ini, tetapi ia berisiko meningkatkan ketegangan antara dua negara itu. - Reuters

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 64
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.