Indonesia akan kembiri guna kimia pelaku seks dengan kanak-kanak

JAKARTA: Presiden Joko 'Jokowi' Widodo akan menandatangani tidak lama lagi dekri membenarkan pengembiraan menggunakan kimia bagi menghukum pelaku pedofilia (hubungan seks dengan kanak-kanak), umum Peguam Negara.

Langkah itu berikutan rentetan jenayah seks terhadap kanak-kanak.

Indonesia akan menyertai sekumpulan kecil negara yang membolehkan hukuman itu, termasuk Poland, Russia dan Estonia, serta beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Pada 2011, Korea Selatan menjadi negara Asia pertama menggunakan pengembirian kimia sebagai hukuman.

"Kami amat mengambil berat tentang kes mencabul kanak-kanak. Fenomena ini telah mencapai tahap luar biasa," kata Peguam Negara H.M. Prasetyo kepada pemberita selepas mesyuarat kabinet lewat Selasa (20 Okt).

"Telah dipersetujui bahawa akan diadakan hukuman tambahan untuk membuat orang berfikir seribu kali sebelum melakukan perkara ini," katanya.

Presiden Jokowi dijangka tidak lama lagi mengeluarkan perintah presiden meluluskan hukuman tersebut selepas kabinet menyetujuinya pada Selasa, ujar Encik Prasetyo.

Menurut beliau, pengembirian kimia akan melibatkan menyuntik pelaku pedofilia yang disabitkan kesalahannya dengan hormon wanita dengan harapan "keinginan seksualnya akan hilang".

Kejadian merogol seorang murid berusia enam tahun tahun lepas oleh sekumpulan penjaga bangunan di Sekolah Antara Budaya Jakarta, yang disokong Amerika Syarikat, mencetuskan gesaan supaya hukuman lebih berat diadakan.

Terdapat juga jenayah seks berprofil tinggi lain.

Seorang murid perempuan berusia sembilan tahun dirogol dan dibunuh di Jakarta awal bulan ini. Seorang lelaki berusia 39 tahun telah ditahan berhubung kes tersebut.

Polis percaya budak perempuan itu dicekik dengan kabel pengecas telefon bimbit, lapor media Indonesia. - Reuters

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 79
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.