Indonesia bakal buka beberapa sektor demi tarik pelaburan asing

JAKARTA: Indonesia akan melonggarkan syarat-syarat kemasukan pelaburan asing dalam beberapa sektor ekonominya, termasuk dalam sektor e-niaga, penjagaan kesihatan dan perfileman, kata Presiden Joko Widodo (Jokowi) hari ini, Rabu.

Langkah tersebut bertujuan untuk menarik dana asing melabur dalam ekonomi Asia Tenggara yang tumbuh perlahan ekoran harga komoditi yang menjunam dan pertumbuhan lembab ekonomi China.

"Kami serius untuk menimbangkan pengurangan peraturan secara menyeluruh, tapi memberi tumpuan kepada e-niaga, penjagaan kesihatan dan industri kreatif," kata Encik Jokowi dalam satu temuramah dengan Reuters di Istana Presiden.

"Komitmen kami adalah untuk meningkatkan daya saing," ujarnya.

Menteri Perdagangan, Encik Thomas Lembong, memberitahu Reuters secara berasingan sektor runcit juga antara sektor yang akan dibuka kepada pelaburan asing.

Semakan senarai bagi sektor yang mempunyai sekatan pelaburan asing dilakukan pada 2014 tetapi dilihat sebagai tidak mesra pelabur.

Pentadbiran Encik Jokowi telah melancarkan beberapa pakej rangsangan ekonomi sejak beberapa bulan lalu dengan tujuan untuk mengurangkan hambatan birokrasi, mendorong perbelanjaan dan meningkatkan sentimen pelabur. - Reuters

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.