Industri penerbitan buku di M'sia akan pupus dalam 10 tahun?

Trend penerbitan buku elektronik atau e-book yang lebih murah punca utama

KUALA LUMPUR: Perusahaan penerbitan buku yang dicetak secara konvensional diramalkan akan pupus di negara ini dalam masa 10 tahun lagi ekoran perkembangan buku elektronik atau e-Book di pasaran.

Menurut Sasterawan Negara Malaysia, Datuk Dr Anwar Ridhwan, industri itu kini berdepan cabaran yang besar apabila trend penerbitan e-Book yang menjimatkan kos dan mudah diakses berkembang pesat terutama di negara-negara maju.

Katanya, golongan penulis, penerbit dan penjual buku harus mencari jalan bagi memasarkan produk masing-masing terutama di alam maya yang tanpa batas sempadan jika mereka mahu terus terbabit dalam industri itu.

"Di Malaysia penggunaan e-Book dianggarkan hanya satu peratus sahaja ketika ini tetapi ia sedang berkembang dengan amat pantas terutamanya di negara-negara maju di Barat dan negara ini juga tidak terkecuali.

"Saya meramalkan industri pencetakan buku di negara ini akan pupus dalam masa 10 tahun dan penggiatnya harus menggunakan segala teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi mengatasi masalah itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Perspektif Penulis: Masa Depan Penerbitan Malaysia di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya di sini hari ini.

Datuk Dr Anwar merupakan antara pembentang kertas kerja dalam Seminar "Masa Depan Industri Pencetakan di Malaysia" anjuran Jabatan Pengajian Media fakulti itu bersama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Katanya, penulis dan syarikat penerbit buku juga harus membuat persediaan daripada sekarang bagi memperkasakan idea, bahan penerbitan dan pemasaran dalam memastikan produk mampu memenuhi trend e-Book.

"Golongan ini mestilah menggunakan sepenuhnya kemudahan ICT yang ada bagi mempromosikan buku-buku mereka di laman-laman sosial sebelum ia dipasarkan. Pelbagai gimik juga harus dibuat sebagai tarikan.

"Pelbagai aspek kena ada dalam e-Book seperti teks yang menarik untuk dibaca, gambar yang bersesuaian serta grafik yang bermaklumat dan cantik perlulah juga digabungkan bagi tujuan tersebut," ujarnya.

Katanya, negara memerlukan sekitar 30,000 judul buku baharu setahun dalam pelbagai bidang termasuk bidang akademik dan matlamat itu tidak akan tercapai jika industri pencetakan buku konvensional pupus.

Seminar dari pukul 9 pagi hingga 6 petang itu disertai oleh 150 peserta yang terdiri daripada para pengamal industri penerbitan buku, ahli akademik, pelajar program pengajian media universiti awam dan swasta. - Utusan Online

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 43
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.