ISIS letupkan kuil purba di Palmyra, Syria

DAMSYIK: Militan Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) telah meletupkan sebuah kuil terkenal di runtuhan purba Syria di Palmyra, kata seorang pegawai, mengesahkan kebimbangan bahawa kumpulan itu akan menghancurkan lebih banyak tapak warisan dunia.

Kemusnahan kuil Baal Shamin, dianggap kuil kedua paling utama di bandar purba Palmyra, menimbulkan kebimbangan mengenai runtuhan lain di tapak Warisan Dunia Unesco itu.

Ia berlaku hanya beberapa hari selepas ISIS memenggal kepala mantan ketua ahli arkeologi Palmyra berumur 82 tahun, Encik Khaled Asaad, yang telah bersara.

"Kebimbangan kami yang paling utama sedihnya sudah berlaku," kata ketua pakar antik Syria, Encik Maamoun Abdulkarim, sambil mengesahkan kuil itu dimusnahkan Ahad lalu.

Terkenal dengan runtuhan zaman Greco-Roman yang terpelihara dengan baik, Palmyra dirampas ISIS daripada tentera pemerintah Syria Mei lalu, menimbulkan kebimbangan kumpulan itu mungkin memusnahkan ia sebagaimana ia telah lakukan ke atas tapak warisan di bahagian Syria dan Iraq di bawah kawalannya.

Sementara itu, militan ISIS bukan sahaja memenggal kepala, malah mencacatkan mayat Encik Asaad, ketua antik Palmyra selama 50 tahun, menurut anak beliau Ahad lalu.

"Penduduk Palmyra memberitahu saya ISIS telah memotong mayat ayah saya menjadi beberapa bahagian," ujar Encik Mohammad al-Asaad.

Menurut beliau, walaupun mendapat ancaman daripada kumpulan pelampau, bapanya enggan meninggalkan Palmyra. - Agensi

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 54
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.