Islam di Amerika dianuti dengan nilai dan identiti tersendiri

Baru-baru ini wartawan PUAD IBRAHIM (puad@sph.com.sg) telah menyertai program Seminar Wartawan Kanan East-West Center melibatkan lawatan ke Amerika Syarikat, Indonesia dan India. Lawatan itu antara lain membawa beliau menemui dan mengadakan dialog dengan beberapa pemimpin dan aktivis untuk memahami peranan agama dan isu-isu berkaitan yang dihadapi masyarakat. Ikuti laporan bahagian pertama beliau mengenai isu identiti Muslim yang dihadapi dua masjid di Washington D.C. dan Salt Lake City, Utah, dan usaha dua aktivis komedi Amerika mengeratkan hubungan antara kaum dan agama menerusi lawak.

WALAUPUN masjid di Washington D.C. dan Salt Lake City, Utah, berlainan tempat dan mempunyai latar belakang jemaah yang berbeza, kededua imamnya sepakat dengan cara Islam yang harus diamalkan Muslim di Amerika Syarikat.

Mereka tegas menyatakan bahawa Islam di Amerika harus dianuti dalam konteks sebuah negara dan masyarakat berbilang kaum dan agama dan bukannya berpandukan pengaruh Timur Tengah.

Sedang Masjid Muhammad atau lebih dikenali sebagai The Nation's Mosque, di Washington D.C. mempunyai kebanyakan jemaah kulit hitam, Masjid Khadeeja di Salt Lake City pula mempunyai ramai jemaah pendatang.

Tetapi kededua imam masjid itu sependirian mahukan jemaahnya mengamalkan Islam dalam cara hidup di Amerika dan bukannya gaya hidup yang diamalkan Muslim yang datang dari luar negara.

Imam Talib Shariff di Masjid Muhammad berkata memang terdapat perbezaan antara cara Islam diamalkan di Amerika dengan rantau Arab - misalnya di Arab Saudi yang mengamalkan fahaman Wahabi.

Ini kerana fahaman tersebut mungkin lebih sesuai diamalkan di negara itu, tetapi tidak bagi masyarakat Islam di Amerika.

Budaya Islam yang diamalkan di rantau Arab berbeza kerana Muslim di sana membentuk golongan majoriti.

Sebaliknya penganut Islam Amerika merupakan golongan minoriti.

Islam di rantau Arab juga telah 'dirosakkan' dengan pelbagai konflik, seperti peperangan, penjajahan, Perang Salib dan politik, ujarnya.

"Di Amerika, majoriti masyarakatnya adalah Kristian, mereka penganut agama lain. Manakala masyarakat Islam Amerika adalah minoriti.

"Justeru kita harus lihat semua model Islam yang diajarkan Nabi tentang bagaimana Muslim harus mengamalkan agamanya dalam konteks sebuah masyarakat bukan Islam yang majoriti.

"Kita ambil yang terbaik daripada model-model itu," kata Imam Shariff sambil menekankan bahawa Islam berkembang di Amerika bukan daripada pendakwah Timur Tengah, tetapi sebaliknya sudah lama bertapak di situ sejak zaman hamba abdi Afrika pada kurun ke-18.

Bekas askar berpangkat Sarjan Angkatan Tentera Udara Amerika itu merupakan Imam Tetap keempat masjid bersejarah Amerika yang dibina sekitar pertengahan 1930-an.

Masjid tersebut perwakilan tertua bagi masyarakat Islam Amerika dan diasaskan keturunan golongan hamba abdi kulit hitam.

Ia dikunjungi sekumpulan wartawan luar negara yang mengikuti program Seminar Wartawan Kanan East-West Center baru-baru ini.

Sekitar 3,200 kilometer ke barat Washington D.C. pula, Imam Muhammed Shoyab Mehtar juga tegas menolak budaya Islam luar negara yang tidak sesuai dengan Amerika.

Apatah lagi jemaah di Masjid Khadeeja itu mempunyai latar belakang yang berbeza kerana rata-rata mereka golongan pendatang seperti dari Bosnia, Somalia, Myanmar, Iraq, Afghanistan, Sudan dan Habsyah.

Jemaah masjid sekitar 800 orang itu mewakili sekurang-kurangnya 35 negara Islam.

Ramai pendatang Muslim bermastautin di bandar tersebut kerana tertarik dengan sikap keterbukaan masyarakat Utah yang lebih separuh daripadanya merupakan penganut Kristian Mormon.

Agama Mormon mengajar penganutnya supaya menerima pendatang dengan tangan terbuka dan mengamalkan hubungan baik sesama jiran tetangga.

Mengongsi pengalaman usahanya menyepadukan masyarakat Islam pendatang Utah, Imam Mehtar berkata terdapat beberapa kes Muslim daripada sesetengah negara enggan berasimilasi dengan masyarakat besar Muslim yang lain.

Mereka membawa ke Utah budaya mereka dari luar negara dan enggan memahami budaya Muslim yang lain.

Oleh sebab itu, Imam Mehtar, yang berasal dari India, sengaja bercakap dalam bahasa Inggeris semasa khutbah Jumaatnya "kerana mahu memberitahu kepada jemaahnya bahawa jika anda datang ke Amerika, anda harus memahami nilai-nilai warga Amerika. Lupakan budaya dan latar belakang anda", kata beliau.

Ini dipersetujui Imam Shariff.

"Pakaian kita berbeza. Kita mempunyai luahan dan budaya kita sendiri tetapi kita tetap mematuhi rukun-rukun agama Islam," katanya.

Kededua imam itu juga giat mengadakan dialog silang agama dan kegiatan kemasyarakatan bersama kumpulan agama lain demi memastikan hubungan baik antara agama dan kaum di Amerika.

Ini diakui sendiri Reverend Gereja Nasional Washington D.C., Cik Kelly Brown Douglas, dan salah seorang hawari (apostle) Mormon Salt Lake City, Encik Elder Todd Christofferson.

"Gereja kami sering dijadikan tempat bagi dialog antara agama. Bahkan kami juga menyediakan tempat solat di gereja ini bagi anggota dialog Muslim yang hadir," kata Cik Kelly.


"Di Amerika, majoriti masyarakatnya adalah Kristian, mereka penganut agama lain. Manakala masyarakat Islam Amerika adalah minoriti. Justeru kita harus lihat semua model Islam yang diajarkan Nabi tentang bagaimana Muslim harus mengamalkan agamanya dalam konteks sebuah masyarakat bukan Islam yang majoriti. Kita ambil yang terbaik daripada model-model itu."
- Imam Shariff.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:09
Isyak
8:22
3 HR PSI: 53
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,219.420 -14.950