Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Israel digegar protes susuli pindaan rang sekat kuasa Mahkamah Agung dilulus

Jul 25, 2023 | 03:17 PM



BAITULMAKDIS: Parlimen Israel pada Isnin meluluskan rang undang-undang pertama rombakan kehakiman yang diajukan oleh Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu, selepas usaha tolak ansur terakhir gagal dan tidak dapat meredakan krisis perlembagaan yang menggemparkan negara selama berbulan-bulan.


Pindaan yang mengehadkan kuasa Mahkamah Agung untuk membatalkan beberapa keputusan pemerintah jika ia menganggapnya “tidak munasabah” diluluskan dengan undian 64 berbanding 0 selepas pembangkang meninggalkan sesi sebagai protes, beberapa daripada mereka menjerit: “Memalukan!”

Demonstrasi menentang pindaan itu bermula awal hari, dengan polis mengheret penunjuk perasaan yang telah merantai diri mereka ke pos dan menyekat jalan di luar Parlimen.

Menjelang petang, beribu-ribu orang telah turun ke jalan raya di seluruh negara, menyekat lebuh raya dan bergelut dengan polis. Polis Israel berkata sekurang-kurangnya 19 orang telah ditangkap pada Isnin.

Tetapi pemerintah tetap berpegang teguh. Menteri Kehakiman Encik Yariv Levin, seorang arkitek pakej perundangan, menyatakan pindaan itu diperlukan untuk mewujudkan lebih banyak keseimbangan dalam kalangan cabang pemerintah.

Pindaan itu adalah sebahagian daripada perubahan kehakiman yang lebih luas dan diumumkan pemerintah pada Januari, tidak lama selepas ia mengangkat sumpah.

Ia dikatakan perlu dilakukan bagi menolak apa yang disifatkannya sebagai perbuatan melampaui batas oleh Mahkamah Agung yang didakwa terlalu campur tangan dalam politik.

Pengkritik berkata perubahan itu akan membuka pintu kepada penyalahgunaan kuasa dengan menghapuskan pemeriksaan berkesan ke atas kuasa eksekutif.

Dalam beberapa minit selepas pengundian, kumpulan pemerhati politik dan ketua pembangkang berkata mereka akan membuat rayuan di Mahkamah Agung.

Encik Netanyahu, dalam kenyataan di televisyen ketika protes memuncak, berkata bahawa beliau akan berdialog dengan pembangkang dengan tujuan mencapai persetujuan menyeluruh menjelang akhir November.

Penunjuk perasaan yang berkumpul di Baitulmakdis menyekat lebuh raya berhampiran Parlimen tetapi dihuraikan oleh polis dengan menyeret mereka dan menyembur air berbau busuk.

“Ia adalah hari yang menyedihkan bagi demokrasi Israel... kami akan melawan balik,” kata Encik Inbar Orpaz, 36 tahun, di hadapan orang ramai di luar Parlimen.

Di Tel Aviv, polis menunggang kuda cuba menyuraikan orang ramai yang menyalakan api di lebuh raya utama.

Di luar bandar, seorang pemandu merempuh orang ramai yang menghalang jalan, menyebabkan tiga orang cedera ringan, kata polis, sambil menambah pemilik kereta itu kemudiannya ditahan.

Selepas undang-undang itu diluluskan, Rumah Putih mengulangi gesaannya agar para pemimpin Israel berusaha ke arah “konsensus seluas mungkin” melalui dialog politik.

Ekoran demonstrasi tersebut, indeks saham utama Tel Aviv jatuh sebanyak 2.5 peratus dan nilai shekel susut 1 peratus berbanding dolar Amerika. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >