Isu 1MDB: Siapa Pegawai Malaysia 1?

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dalam satu klip video pendek bahawa beliau bukan 'Pegawai Malaysia 1'.

Pembangkang veteran Lim Kit Siang juga menulis dalam blognya bahawa beliau bukan pegawai yang tidak dinamakan itu.

Istilah 'Pegawai Malaysia 1' dibangkitkan 36 kali oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dalam tindakan undang-undang sivil berkaitan syarikat pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan kini ia menjadi topik hangat di media sosial.

Siapa pegawai misteri itu?

Meme Internet telah dicipta berdasarkan istilah itu, sejak penyebaran berita tindakan undang-undang DOJ yang diambil Rabu (20 Jul) untuk merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion ($1.35 bilion), termasuk hartanah mewah, jet dan lukisan, yang didakwanya dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB, yang dulu diselia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tun Dr Mahathir, dalam klip video yang dimuat naik sebuah pertubuhan bukan kerajaan, mengangkat kedua-dua tapak tangannya dan berkata: "Saya bukan Pegawai Malaysia 1. Saya fikir, siapa dia, anda boleh buat keputusan daripada gambaran tentang 'Pegawai Malaysia 1' terdapat dalam laporan oleh Jabatan Kehakiman di Amerika."

Encik Lim menulis dalam blognya: "Biar saya secara jelas dan rasmi isytiharkan bahawa saya bukan Pegawai Malaysia 1. Apakah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, juga akan menyatakan kedudukannya..."

Dalam Twitter hashtag #MalaysianOfficial1, beberapa orang bertanya: "Bolehkah Pegawai Malaysia 1 sebenar tolong berberdiri?"

Saman yang difailkan oleh DOJ itu mendakwa AS$681 juta ($925 juta) daripada jualan bon pada 2013 oleh 1MDB dipindahkan ke akaun milik 'Pegawai Malaysia 1'.

Orang itu, menurut DOJ, ialah "saudara" anak tiri Datuk Seri Najib, Encik Riza Aziz - tokoh utama yang disebut dalam tindakan DOJ itu.

DOJ berkata orang itu juga "seorang pegawai pangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga memegang kedudukan berkuasa dalam 1MDB"

Peguam Negara Amerika, Cik Loretta Lynch, enggan menangani spekulasi bahawa 'Pegawai Malaysia 1' ialah Datuk Seri Najib.

Mantan timbalan perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang dipecat Datuk Seri Najib tahun lalu kerana bertanya mengenai 1MDB, berkata beliau tidak ragu-ragu tentang siapa 'Pegawai Malaysia 1'.

"Telah dinyatakan dengan jelas dalam laporan DOJ bahawa orang ini mempunyai AS$681 juta dalam akaun peribadinya di AmBank Malaysia," kata Tan Sri Muhyiddin Jumaat lepas.

"Kita tidak tahu orang lain selain Najib yang dilaporkan mempunyai jumlah wang sebanyak itu dalam akaun peribadinya dengan AmBank."

Datuk Seri Najib sentiasa menekankan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:04
Isyak
8:19
3 HR PSI: 27
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.