INDONESIA merancang mewajibkan ulama yang berdakwah di televisyen mendapatkan kelulusan, dalam satu bentuk pensijilan, daripada sebuah pertubuhan Islam, di tengah-tengah bertambahnya aduan terhadap pandangan tidak toleran ang tersebar di udara.
Majlis Ulama Islam Indonesia (MUI) telah diminta pemerintah merangka garis panduan yang pertubuhan Islam rasmi seperti Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah boleh gunakan untuk merangka kriteria mereka sendiri bagi mengiktiraf ulama yang berdakwah di televisyen.
Stesen televisyen tempatan, yang bilangannya bertambah banyak sejak tahun-tahun kebelakangan, paling banyak menerima aduan baru, menurut agensi antipengganasan Indonesia, BNPT, lapor akhbar The Straits Times pada Isnin (28 Dis).
Stesen televisyen itu meliputi sebuah bandar, kabupaten (daerah) atau wilayah. Terdapat 34 wilayah dan 500 bandar dan kabupaten di Indonesia.
Sehingga tahun lepas, terdapat lebih 390 stesen televisyen di seluruh negara itu, menurut majlis akhbar.
Beberapa stesen baru ditubuhkan setiap minggu tahun lepas. Jumlah tahun ini belum terdapat. Daripada lebih 390 stesen televisyen, lebih 10 adalah stesen negara.
Pandangan tidak toleran oleh pendakwah televisyen mula timbul beberapa tahun lalu.
BNPT menggalak pemimpin masyarakat setempat dan badan bukan pemerintah yang beroperasi dalam masyarakat masing-masing membantu melawan idea tidak toleran yang tersebar di televisyen.
"Sekarang, kami akan cuba membersihkan ini. Tahun depan, kami berharap ia akan menjadi bersih," kata Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Encik Luhut Pandjaitan kepada akhbar itu di pejabatnya minggu lepas.
"Ia bukan satu lesen, tetapi satu rahmat daripada MUI," kata Encik Luhut mengenai aris panduan itu, sambil menekankan ia bukan satu bentuk kawalan pemerintah.
Beliau menambah bahawa dakwah agama perlu, sedikit sebanyak, turut menyentuh mengenai kenegaraan.
Indonesia memerlukan undang-undang dan peraturan yang membenarkan pihak berkuasa mendakwa sesiapa sahaja yang melakukan ucapan benci, penganalisis pengganasan Mardigu Wowiek Prasantyo memberitahu harian Pikiran Rakyat.
Buat masa ini, sesiapa sahaja di negara itu boleh menghina agama lain daripada agamanya dan memprovokasi orang lain untuk melakukan pengganasan atas nama agama, katanya.
Ketua Polis wilayah Banten, Brigadier-Jeneral Boy Rafli Amar, bersetuju dan berkata ucapan benci boleh menggalak tindakan pengganasan.
Banten, di Jawa Barat, wilayah kelahiran Imam Samudra, salah seorang daripada tiga pengebom dua kelab malam di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang, kebanyakannya pelancong asing.
Wilayah itu mengesan lima penduduknya telah pergi ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganasn Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS), termasuk Umar Jundul Haq, 19 tahun, anak sulung Imam Samudra yang menurut polis terbunuh dalam pertempuran baru-baru ini di sana.
BG Boy berkata ulama yang mempunyai "pengetahuan betul" tentang Islam perlu diberi pendedah lebih besar.
"Jangan beri ruang kepada ulama radikal yang menggunakan Islam untuk menyebarkan kebencian."
Ditanya bagaimana pemeirntah Indonesia akan menghukum ulama yang terus menyebarkan pandangan tidak toleran, Encik Luhut berkata: "Kami akan menghukum pemilik stesen televisyen. Mengenakan hukuman tidak sukar."