Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Jepun buka semula pintu kepada pelancong

Oct 12, 2022 | 05:30 AM



TOKYO: Jepun membuka semula pintunya kepada pelancong semalam selepas dua setengah tahun disekat langkah ketat Covid-19, dengan pegawai berharap kemasukan pelancong yang terpikat oleh yen yang lemah akan meningkatkan ekonomi.



Menjelang tengah pagi, pelancong dari Israel, Perancis dan Britain sudah mula tiba.



"Ia impian lama yang kini menjadi kenyataan," kata Cik Adi Bromshtine, 69 tahun, seorang pesara dari Israel yang tiba di lapangan terbang Haneda Tokyo.



"Kami merancang sebelum Covid-19 dan terpaksa tunggu lama," katanya kepada AFP.



Encik Itay Galili, seorang pelajar berusia 22 tahun yang juga tiba dari Israel, berkata beliau telah memantau dengan teliti berita pengumuman pembukaan semula sempadan.



"Sebaik sahaja saya mendengar ia akan dibuka semula pada 11hb, saya mula merancang. Tiket mahal... tetapi tiada harga (yang) terlalu mahal," katanya.



Jepun menutup sempadannya pada awal wabak, hingga pada satu ketika menghalang penduduk asing daripada kembali, dan baru-baru ini mula dibuka semula dengan berhati-hati.



Jun lalu, Jepun mula membenarkan pelancong melawat secara berkumpulan diiringi pemandu, satu keperluan yang dilonggarkan lagi dengan membenarkan lawatan pakej berpandu sendiri.



Mulai Selasa, kemasukan tanpa visa disambung semula untuk pelancong dari 68 negara dan wilayah.



Jepun juga menaikkan had jumlah ketibaan dan menamatkan keperluan pakej pelancongan.



Namun beberapa peraturan kekal, dengan pelancong perlu mengemukakan sama ada bukti vaksinasi atau ujian koronavirus negatif yang diambil tiga hari sebelum berlepas.



Sebelum Covid-19, kerajaan Jepun berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat 40 juta pengunjung menjelang 2020, tahun di mana Tokyo sepatutnya menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas.



Jepun menerima rekod 31.9 juta pelawat asing pada 2019, tetapi angka itu menjunam kepada hanya 250,000 pada 2021.



Di Jepun, pelancong akan mendapati negara yang masih mematuhi banyak garis panduan kesihatan yang membantunya mengekalkan kematian akibat pandemik kepada sekitar 45,500 - lebih rendah daripada banyak ekonomi maju lain.



Pelitup digunakan di mana-mana, dan walaupun tidak diwajibkan undang-undang, Parlimen bersedia meluluskan undang-undang yang membenarkan hotel menafikan perkhidmatan kepada pelanggan yang enggan memakainya atau mematuhi peraturan kesihatan lain.



Pelitup dipakai bukan sahaja di dalam bangunan dan dalam pengangkutan awam, malah di luar rumah, walaupun kerajaan mengatakan ia tidak diperlukan di luar dalam keadaan tidak sesak.



Pembersih tangan diletakkan di pintu masuk kebanyakan perniagaan, manakala pemisah plastik juga sering digunakan di restoran.



Satu lagi perubahan besar bagi pelancong ialah mata wang yen yang rendah, yang berlegar sekitar 145 berbanding dolar, tahap yang tidak dilihat selama dua dekad.



Kerajaan telah pun terpaksa campur tangan sekali untuk menyokong mata wang itu, dan Perdana Menteri Fumio Kishida menyebut kelemahan yen sebagai faktor yang beliau harap akan menarik pelancong apabila beliau mengumumkan pembukaan semula.



Sudah tentu tidak ada kekurangan permintaan, menurut ejen pelancongan.



Sejak pengumuman September mengenai rancangan pembukaan semula, "kami benar-benar sibuk, kami tidak mempunyai masa yang cukup untuk menangani semua permintaan", kata Encik Antoine Chanthavong, dari agensi pelancongan Destination Japan yang berpangkalan di Paris.



Namun, buat masa ini sekurang-kurangnya, tiket tidak murah, dengan harga bahan api melambung tinggi dan syarikat penerbangan terpaksa mengambil laluan jauh untuk mengelakkan ruang udara Russia.



Biarpun ada kenaikan semula dalam permintaan, terdapat sedikit jangkaan bahawa bilangan pelancong akan mencapai tahap 2019.



Sebelum wabak, pelancong dari Hong Kong dan China membentuk 37 peratus daripada semua pelawat asing ke Jepun, dan 44 peratus daripada pendapatan pelancongan.



Tetapi sekatan ketat Covid-19 di China menyebabkan pelawat dari sana tidak mungkin berpusu-pusu kembali ke Jepun dalam masa terdekat. - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >