Jerebu: Indonesia mungkin isytihar darurat negara

Indonesia mungkin secara rasmi mengisytiharkan krisis jerebu, yang menyelubungi sebahagian Asia Tenggara dengan asap tebal sejak Ogos, sebagai keadaan kecemasan negara, kata Naib Presiden Jusuf Kalla.

Beliau berkata pada Selasa (27 Okt) pemerintah sedang menimbangkan cara itu, tetapi Presiden Joko 'Jokowi' Widodo akan membuat keputusan selepas lawatannya ke Amerika Syarikat

Keadaan jerebu yang semakin teruk mendorong Encik Jokowi memendekkan sehari lawatan rasmi pertama beliau ke Amerika agar beliau boleh terbang terus ke kawasan-kawasan di Indonesia yang paling terus terjejas.

Menurut akhbar The Straits Times, kenyataan Encik Kalla mengenai rancangan mengisytiharkan darurat negara dibuat selepas beberapa pemimpin dan anggota parlimen tempatan menggesa pemerintah berbuat demikian.

Satu sebab utama bagi mengisytiharkan darurat negara ialah supaya pemerintah pusat boleh menggunakan aset negara bagi menangani krisis itu.

Indonesia telah mengerahkan puluhan ribu askar, polis dan aset kecemasan untuk mencuba memadamkan ribuan kebakaran hutan dan tanah gambut.

Pemerintah juga telah membuat persediaan bagi pemindahan besar-besaran yang diketuai oleh kapal tentera laut, yang telah dikerah untuk menerima mangsa dari Kalimantan dan Sumatera.

Seorang pembantu Encik Kalla, Encik Wijayanto Samirin, memberitahu akhbar itu bahawa mengisytiharkan darurat negara membolehkan pemerintah mempercepat proses pemerolehan peralatan memadam kebakaran yang diperlukan bavgi melawan kebakaran hutan.

Bagaimanapun, ada juga kebimbangan lain. Misalnya, syarikat boleh menggunakan tindakan pemerintah itu untuk mengisytihar 'force majeure' (keadaan tidak diduga yang menghalang seseorang daripada memenuhi kontrak) ke atas perjanjian dalam pelbagai sektor, daripada minyak sawit ke perbankan.

"Beberapa perniagaan juga boleh menggunakan status itu untuk menaikkan harga kontrak, dan ini sebabnya kami sedang menganalisis isu ini dengan sangat teliti," tambah Encik Wijayanto.

Pemerintah Indonesia keberatan menyifatkan masalah jerebu itu sebagai krisis negara kerana ia tidak menjejaskan seluruh negara, menurut beberapa pegawai.

Agensi cuaca negara Indonesia, bagaimanapun, melaporkan tiga perempat daripada negara itu kini terjejas akibat jerebu, walaupun dalam darjah berbeza-beza.

Ibu negara Jakarta diselimuti jerebu ringan sejak dua hari lalu, walaupun pihak berkuasa menegaskan mutu udara masih "biasa".

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 38
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.