Kebanyakan komplot ISIS untuk serang M'sia 'dirancang dalam negara'

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa Malaysia mendedahkan pada Selasa (9 Ogos) kebanyakan komplot pengganasan yang dirancang ke atas negara itu oleh pengikut kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) dihasilkan dalam negara.

Ancaman pengganas dibendung di Malaysia buat masa ini kerana kemampuan terhad anggota sel dan usaha berterusan polis untuk menggagalkan mereka.

"Ancaman bertujuan mewujudkan huru-hara ini dapat dibendung," kata ketua penolong pengarah polis bagi bahagian memerangi pengganasan, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dalam satu taklimat kepada diplomat asing di Malaysia, Datuk Ayob berkata "kebanyakan komplot didalangi unsur-unsur Daesh tempatan tanpa arahan atau penyelarasan dari Syria", menggunakan singkatan bahasa Arab bagi ISIS.

Beliau berkata hanya tiga komplot berdasarkan arahan daripada asas utama kumpulan itu di Syria.

Datuk Ayob membuat komen itu di tengah-tengah galakan oleh pemimpin ISIS kepada pengikut mereka di Asia Tenggara supaya melancarkan serangan tempatan, sedang kumpulan itu kehilangan wilayah di kubu kuatnya.

Minggu lalu, polis Indonesia menahan sekumpulan suspek di Batam yang pemimpinnya merancang melancarkan serangan ke atas Marina Bay di Singapura menggunakan roket.

Tangkapan mereka menyusuli usaha kerjasama perisikan antara Malaysia, Singapura dan Indonesia, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri.

"Apa yang berlaku di Singapura ialah hasil perkongsian maklumat dari Indonesia dan Malaysia, dan dengan itu kita dan pihak berkuasa Singapura mengambil langkah-langkah segera," katanya kepada pemberita.

Pada Jun, ISIS melancarkan serangan pertamanya di Malaysia apabila dua lelaki melemparkan bom tangan ke sebuah kelab malam di Puchong, Selangor, mencederakan lapan orang.

Polis berkata walaupun demikian, keselamatan di Malaysia masih terkawal kerana anggota sel belum menguasai kemahiran menghasilkan bahan letupan improvisasi (IED) walaupun mereka mempunyai akses kepada bahan membuat bom.

"Mereka tidak mempunyai kepakaran untuk menghasilkan IED," kata Datuk Ayob.

Angka dikemas kini rasmi menunjukkan sejak 2013 polis menahan 230 anggota ISIS di Malaysia, dengan kebanyakan tangkapan dibuat tahun ini.

Daripada jumlah itu, 200 ialah rakyat Malaysia. Polis telah mendapat 48 sabitan dan 77 orang didakwa, manakala 59 telah dibebaskan.

Seramai 90 rakyat Malaysia juga didapati telah pergi ke Syria, dengan 21 telah terbunuh, termasuk tujuh pengebom berani mati.

Lapan rakyat Malaysia pulang dan ditahan.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 40
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.