Topic followed successfully
Go to BHkuKenaikan harga tenaga bebani industri air botol Indonesia, rantaian makanan terjejas
Kenaikan harga tenaga bebani industri air botol Indonesia, rantaian makanan terjejas
Kos pembungkusan turut naik antara 25%-50%
Kenaikan harga tenaga bebani industri air botol Indonesia, rantaian makanan terjejas
JAKARTA: Kenaikan harga tenaga sejagat susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah kini mula memberi tekanan kepada industri air minuman dalam botol di Indonesia.
Demikian menurut Persatuan Syarikat Air Minuman Dalam Botol Nusantara (Amdatara).
Pengerusinya, Encik Karyanto Wibowo, berkata industri tersebut berdepan tekanan serius akibat lonjakan harga bahan mentah pembungkusan, khususnya plastik berasas petroleum.
“Kami menyatakan kebimbangan serius terhadap tekanan yang semakin meningkat ke atas industri ini berikutan kenaikan harga bahan mentah, terutama plastik berasaskan petroleum,” katanya.
Menurut beliau, keadaan semasa bukan sekadar turun naik pasaran biasa, sebaliknya satu kejutan struktur yang memberi kesan menyeluruh kepada rantaian pengeluaran.
Kenaikan harga plastik sejagat berpunca daripada lonjakan harga minyak mentah, yang berkait rapat dengan konflik di Timur Tengah melibatkan Amerika Syarikat-Israel dan Iran.
Lebih 99 peratus plastik dunia dihasilkan daripada bahan api fosil, menjadikan industri pembungkusan sangat terdedah kepada perubahan harga tenaga.
“Apabila harga bahan api meningkat, kos pengeluaran plastik turut meningkat secara langsung,” kata Encik Karyanto.
Amdatara menganggarkan harga bahan mentah boleh meningkat sehingga 100 peratus, sekali gus menyebabkan kos pembungkusan akhir naik antara 25 dengan 50 peratus bergantung pada jenis bahan dan skala pengeluaran.
Keadaan itu memberi tekanan besar kepada pengeluar kecil dan sederhana yang mempunyai kecairan kewangan terhad, dan berisiko memaksa kenaikan harga air minuman dalam botol kepada pengguna.
“Ini bukan sahaja menjejas ribuan perniagaan dan puluhan ribu pekerjaan, bahkan juga menyentuh aspek kesihatan awam kerana akses kepada air minuman selamat boleh terjejas,” katanya.
Harga minyak sejagat meningkat pada awal April selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengulangi ancaman terhadap Iran, termasuk kemungkinan memusnahkan prasarana awam jika Selat Hormuz tidak dibuka.
Namun, ketegangan sedikit reda apabila Washington bersetuju menangguhkan serangan selama dua minggu sebagai pertukaran pembukaan semula Selat Hormuz, laluan penting bagi bekalan tenaga dunia.
Namun begitu, gangguan terhadap rantaian bekalan telah berlaku.
Kontrak minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat kepada sekitar AS$112 ($142) setong, manakala Brent ditutup melebihi AS$109 setong, mencerminkan tekanan berterusan terhadap pasaran tenaga.
Kesan kenaikan harga plastik bukan sahaja dirasai industri air botol, malah turut menjejas sektor makanan dan minuman.
Pengerusi Persatuan Pengeluar Makanan dan Minuman Indonesia (GAPMMI), Encik Adhi Lukman, berkata pengeluar telah mula menerima pemberitahuan berhubung kenaikan kos pembungkusan daripada pembekal.
Selain itu, beberapa jenis plastik juga semakin sukar diperoleh, menambah lagi tekanan kepada pengeluaran.
Persatuan Industri Olefin, Aromatik dan Plastik Indonesia (Inaplas) sebelum ini memberi amaran kesan gangguan bekalan minyak dari Timur Tengah akan lebih ketara selepas musim cuti Aidilfitri.
Setiausaha agungnya, Encik Fajar Budiono, berkata banyak kilang kini hanya memenuhi kontrak sedia ada dan lebih berhati-hati menerima tempahan baharu.
“Tempahan baharu masih belum diproses sepenuhnya kerana kesan perang ini mungkin berlarutan lebih lama daripada jangkaan,” katanya.
Beberapa syarikat petrokimia turut mengurangkan kadar operasi kilang, manakala ada yang mengisytiharkan keadaan luar jangka susulan gangguan bekalan bahan mentah melalui Selat Hormuz.
Antaranya termasuk PT Chandra Asri Pacific, yang sedang berusaha mengurangkan kesan gangguan terhadap pelanggan.
Industri air minuman dalam botol merupakan antara sektor penting di Indonesia, dengan lebih 700 kilang dan kapasiti pengeluaran sekitar 47 bilion liter setahun.
Namun, dalam keadaan ketidaktentuan sejagat ketika ini, sektor tersebut kini berdepan cabaran besar bukan sahaja dari segi kos, malah juga kestabilan bekalan.
Perkembangan itu menunjukkan bagaimana konflik geopolitik di luar negara kini memberi kesan langsung kepada industri domestik, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap harga barangan asas dan kesejahteraan pengguna. – Agensi berita.

