Kes campak naik 340% di Malaysia, makin ramai ibu bapa tolak vaksin

PETALING JAYA: Kes jangkitan penyakit campak melonjak 340 peratus di Malaysia dalam tempoh minggu pertama bulan ini (Jun), menurut Jabatan Kesihatan sambil berkata jumlah kanak-kanak yang tidak diimunkan terhadap penyakit itu telah bertambah.

Terdapat 873 kes dilaporkan minggu itu, berbanding 197 pada tempoh sama tahun lalu - bertambah 676 kes.

Kebanyakan kes melibatkan rumah privet (63.6 peratus), diikuti oleh institusi (28.8 peratus) dan masyarakat (7.6 peratus).

"Tahun lepas, terdapat 1,318 kes campak dengan dua kematian. Tiada kematian tahun ini," kata Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu pos Facebook beliau pada Ahad (26 Jun).

Beliau berkata 66 wabak dilaporkan pada minggu pertama Jun, bertambah lima kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas.

Imunisasi terhadap campak diberi kepada kanak-kanak apabila mereka berumur antara sembilan dan 12 bulan, di bawah program imunisasi kebangsaan.

Angka itu datang di tengah-tengah kebimbangan orang ramai mengenai laporan bahawa semakin ramai ibu bapa tidak memberi vaksin kepada anak mereka kerana bimbang ia tidak halal.

Kedah mempunyai bilangan paling tinggi kes menolak vaksin tersebut. Ini berlaku walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan mengisytiharkan ia halal.

Sabtu lalu, Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata kementerian itu akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan mengenai isu vaksin wajib bagi pelajar di seluruh negara.

Komen beliau menyusuli kematian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun akibat jangkitan bakteria difteria (penyakit berjangkit yang dicirikan dengan demam, sakit kerongkong, dan gangguan pernafasan dan biasanya menyerang kanak-kanak) di Melaka.

Di Kedah, seorang kanak-kanak berusia dua tahun juga telah meninggal dunia, dan penyakit yang sama dipercayai menjadi puncanya.

Rabu lepas, Persatuan Perubatan Islam Malaysia berkata kemunculan semula penyakit berjangkit seperti difteria, yang telah hampir hilang di Malaysia, disebabkan oleh keengganan sesetengah ibu bapa memberi vaksin kepada anak mereka.

"Faktor-faktor yang dikenal pasti sebagai alasan menolak vaksin itu termasuk maklumat salah, tidak benar dan mitos yang terdapat di Internet dan media sosial," kata presidennya, Profesor Datuk Dr Abd Rahim Mohamad.

Beliau menggesa para mufti dan alim ulama supaya memberi maklumat betul mengenai imunisasi dan "mengelakkan mitos, fiksyen dan teori konspirasi". - The Star/Asia News Network

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 23
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.