Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Kesan kos sara hidup dijangka isu hangat PRU14

Apr 19, 2018 | 05:30 AM



Isu-isu yang bakal menjadi perhatian semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Malaysia kini kian ketara, dengan isu kos sara hidup dijangka menjadi isu hangat. Kurang 10 hari sebelum Hari Penamaan Calon pada 28 April ini, dua pakar ekonomi dan pemerhati politik berkongsi pandangan mereka dengan BERITA HARIAN.



KESAN kos sara hidup yang meningkat dan dirasai penduduk di dalam dan luar bandar Malaysia dijangka menjadi isu hangat semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bulan depan, kata beberapa pakar ekonomi dan pemerhati politik.



"Isu kos sara hidup adalah isu yang dominan. Gaji bulanan purata keluarga naik sejak 2009, tetapi perbelanjaan keluarga meningkat pada kadar lebih tinggi," kata pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid.



Beliau adalah pengasas dan ketua pakar ekonomi di DM-Analytics - sebuah firma kajian dan perundingan ekonomi dan dasar yang berpusat di Kuala Lumpur.



Menurutnya, gaji bulanan keluarga purata di Malaysia naik sekitar 73 peratus dari 2009/10 hingga 2016, tetapi perbelanjaan keluarga purata melonjak 84 peratus dalam tempoh yang sama itu.



Tambahnya, walaupun kadar inflasi kekal rendah - sekitar 3 peratus - bagi tempoh tersebut, harga beberapa barangan makanan seperti daging lembu, minyak masak dan gula melonjak antara 61 peratus dengan 81 peratus.



Harga barangan kegunaan harian di Malaysia meningkat sejak 2015, selepas kerajaan negara itu bertindak menstruktur semula dasar kewangannya dengan cara mengurangkan subsidi bagi barangan seperti gula, minyak masak dan tepung; dan memperkenal Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus.



Dalam laporan Bernama tahun lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata tindakan kerajaan melaksanakan GST dan mengurangkan subsidi merupakan "keputusan yang mencabar dan sukar" namun "keputusan yang betul kerana ia berjaya menambah pendapatan negara".



Selain perkembangan ini, nilai ringgit yang merosot juga menyebabkan harga barangan harian meningkat kerana "Malaysia mengimport banyak keperluan harian, termasuk makanan", kata Dr Muhammed.



Tambahnya, selain barangan harian, harga barangan "tiket besar" - yang tidak selalu dibeli - seperti perumahan, meningkat sehingga mencapai kadar yang sukar dimampui oleh sebahagian rakyat.



"Perubahan harga seperti ini menjejas hampir semua rakyat, tidak kira anda berada di bandar atau di pedalaman," katanya.



Tinjauan yang dilakukan oleh Merdeka Center - pusat kajian bebas di Malaysia - pada akhir tahun lalu menunjukkan isu kos sara hidup, pekerjaan dan perkara berkaitan ekonomi yang lain menjadi keprihatinan utama dalam kalangan 72 peratus peserta tinjauan.



Kajian itu juga menunjukkan bahawa antara satu dengan dua daripada 10 rakyat Malaysia ikat perut bagi menampung kos perbelanjaan harian.



Tinjauan itu melibatkan 1,203 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang layak mengundi.



Pengamat politik daripada Universiti Malaya, Profesor Awang Azman Awang Pawi, berkata secara am, GST dianggap membebankan rakyat terutama oleh golongan kelas pertengahan kerana ia dikenakan sama rata tanpa mengambil kira pendapatan.



Tidak semua dalam kumpulan ini layak menerima habuan wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), katanya.



"Inilah yang membelenggu golongan kelas pertengahan dan rakyat Malaysia secara amnya," ujarnya, yang menambah isu itu menyebabkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) mungkin merosot.



"Namun, perkara ini belum tentu mendatangkan kesan dalam bentuk undi yang beralih daripada parti kerajaan kepada parti pembangkang," tambahnya.



Dalam pada itu, BN telah mengorak langkah bagi menangani isu tersebut.



Manifesto PRU14, yang diterbitkan BN awal bulan ini, menggariskan beberapa perubahan bagi menambah pekerjaan dan membantu rakyat membiayai kos sara hidup dengan lebih baik.



Antara lain, BN berikrar akan menambah habuan BR1M - yang diberikan kepada tujuh juta penerima - daripada RM1,200 ($404) kepada RM2,000. Ia juga berikrar akan memberikan bayaran insentif RM5,000 kepada setiap pemaju Felda - skim pertanian kerajaan yang memberi tanah kepada 112,000 keluarga - dan mengetepikan (waive) hutang mereka, yang melebihi RM5 bilion.



Menurut Profesor Awang Azman lagi, selain menambah kuantum habuan BR1M, parti kerajaan juga menambah kategori penerima supaya ia boleh diberikan kepada lebih ramai rakyat.



"Jika lebih ramai rakyat menerima bantuan kerajaan... diyakini, jumlah sokongan bagi BN juga akan bertambah," katanya.



Manifesto BN itu merupakan kemuncak beberapa tindakan BN awal bulan ini bagi mendahului parti pembangkang dalam persaingan PRU14, menurut akhbar The Straits Times (ST) dalam laporannya, barubaru ini.



Antara lain, Parlimen Malaysia telah meluluskan persempadanan baru bagi sebahagian kawasan undi dan juga undang-undang baru untuk menangani masalah berita palsu.



Turut diumumkan ialah habuan wang tunai berjumlah RM1.5 bilion untuk 1.6 juta pegawai perkhidmatan awam, yang secara tradisi merupakan pangkalan sokongan penting bagi BN.



Pihak berkuasa di Malaysia juga melarang Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang dipimpin mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, daripada meneruskan kegiatannya, sementara ikon pihak pembangkang Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan, dilarang bertemu peguamnya.



Parlimen Malaysia dibubarkan pada 7 April lalu dan Hari Penamaan Calon dijadualkan pada 28 April ini.



PRU14 dijadual berlangsung pada 9 Mei.



Sejumlah 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (kecuali Sarawak) ditawarkan untuk ditandingi.




INISIATIF UTAMA DALAM MANIFESTO BARISAN NASIONAL



  • Menaikkan gaji bulanan minimum daripada RM1,000 kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun.

  • Syarikat kerajaan akan menawarkan insurans lebih meluas, selain manfaat kesihatan dan sara hidup.

  • Tiga juta pekerjaan akan diadakan.

  • Penganggur, terutama belia, akan diberi sumber pendapatan atau latihan dalam tempoh enam bulan pertama pengangguran.

  • Pemberian wang tunai BR1M - yang diberikan kepada tujuh juta penerima - akan ditambah daripada RM1,200 kepada RM2,000.

  • Sekitar RM4.3 bilion diperuntuk bagi memperbaiki hubungan telekomunikasi dan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak.

  • Setiap pemaju Felda dijanjikan bayaran insensitif RM5,000. Hutang mereka - sejumlah lebih RM5 bilion - juga akan diketepikan (waive).

Skim Felda menyediakan tanah kepada 112,000 keluarga - sekitar 9 peratus pengundi yang tinggal di 54 daripada 222 kawasan undi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >