Ketua militan IS dilapor terbunuh

Omar Al-Shishani dikatakan mati akibat cedera parah dalam serangan udara di Iraq

BAGHDAD: Ketua militan IS, Omar Al-Shishani, dilaporkan terbunuh selepas mengalami kecederaan parah dalam serangan udara di Iraq kelmarin.

Shishani, atau lebih dikenali sebagai Omar Chechen, terbunuh selepas satu serangan udara menyasarkan konvoinya.

Menurut sumber agensi berita Amaq, serangan udara terhadap Shishani merupakan kempen tentera dalam membebaskan bandar Mosul yang dikawal militan.

Amaq, bagaimanapun, tidak memaklumkan butiran penuh tentang kematian Shishani tetapi pemergian ketua militan IS itu memberi tamparan hebat kepada kumpulan berkenaan.

Selain itu, tentera Iraq sedang menjalankan gerakan terakhir bagi membebaskan Mosul iaitu bandar kedua yang jatuh ke tangan IS pada Jun 2014.

Shishani, atau nama sebenarnya Tarkhan Batirashvili, ialah seorang daripada pemimpin IS paling dikehendaki Washington yang menawarkan wang ganjaran berjumlah AS$5 juta ($6.89 juta).

Anggota militan berjanggut merah itu dikatakan penasihat tentera yang rapat dengan pemimpin IS, Abu Bakr al-Baghdadi.

Amaq berkata Omar Chechen meninggal dunia semasa cuba mempertahan bandar Mosul.

Ini bukan kali pertama Shishani dilaporkan terbunuh. Mac lalu, Pentagon melaporkan bahawa pemimpin IS itu disahkan mati selepas mengalami kecederaan dalam serangan pakatan yang diketuai Amerika Syarikat di timur laut Syria.

Shishani dilahirkan pada 1986 di Georgia, yang ketika itu masih merupakan sebahagian daripada Kesatuan Soviet.

Amerika menggambarkan Shishani sebagai pejuang pengganas asing pada 2014 dan mempunyai "kuasa unik" dalam IS.

Shishani berasal dari sebuah bandar di Georgia yang didiami ramai etnik Chechen, kata pegawai Amerika.

Dia menyertai pemberontak Chechen menentang tentera Russia sebelum menyertai tentera Georgia pada 2006 dan menentang tentera Russia lagi di Georgia pada 2008.

Selepas dilepaskan tentera Georgia atas sebab kesihatan, dia memasuki Syria pada 2012 dan menyertai IS pada 2013.

Antara pencapaiannya hingga mendapat pangkat tertinggi dalam tentera IS, kata pegawai, ialah dia berjaya mengubah satu kumpulan pemberontak menjadi pasukan tempur berkesan dengan "menggabungkan rakyat Syria yang mahir dengan rupa bumi Syria dengan keupayaan tempur pejuang Chechen". - AFP.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 40
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.