Korea Utara uji lancar peluru berpandu dari kapal selam: Seoul

SEOUL: Korea Utara melancarkan satu peluru berpandu balistik dari kapal selam di luar pantai timurnya, kata tentera Korea Selatan pada Rabu (24 Ogos).

Ia yang terbaru dalam rentetan pelancaran peluru berpandu oleh negara terpencil itu yang mencabar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Korea Utara menjalankan ujian peluru berpandu pada kira-kira 5.30 pagi (4.30 pagi waktu Singapura) berhampiran bandar pantai Sinpo, di mana imej satelit menunjukkan sebuah pangkalan kapal selam ditempatkan, kata seorang pegawai di Ketua Turus Bersama Korea Selatan.

Pelancaran itu dilakukan dua hari selepas Korea Selatan dan Amerika Syarikat memulakan latihan ketenteraan tahunan di Selatan, yang Korea Utara kutuk sebagai persediaan untuk serangan, dan mengugut akan bertindak balas.

Korea Utara menjadi lebih terpencil selepas ia menjalankan ujian nuklear keempatnya pada Januari, dan pelancaran roket jarak jauhnya pada Februari membuat PBB mengetatkan sekatan ke atas negara itu.

Ia melancarkan banyak peluru berpandu pelbagai jenis tahun ini, termasuk satu bulan ini yang mendarat di dalam atau berhampiran perairan yang dikawal Jepun.

Ketegangan di Semenanjung Korea diburukkan lagi oleh pembelotan baru-baru ini Timbalan Duta Besar Korea Utara ke London, yang lari ke Korea Selatan.

Ia satu lagi tamparan memalukan terhadap rejim pemimpin Korea Utara Kim Jong Un. - Reuters

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 57
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.