Kotak hitam pesawat EgyptAir yang terhempas ditemui

KAHIRAH: Perakam suara kokpit dari pesawat Penerbangan MS804 EgyptAir yang terhempas di Laut Mediterranean telah dijumpai oleh pasukan mencari, yang terpaksa menyelamatkan peranti itu melalui beberapa peringkat kerana ia rosak, kata jawatankuasa penyiasatan Mesir pada Khamis (16 Jun).

Sebuah kapal pakar milik syarikat Deep Ocean Search yang berpangkalan di Mauritius, bagaimanapun, masih dapat menyelamatkan unit memori peranti itu, katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya unit memori tersebut dianggap bahagian paling penting dalam peranti rakaman itu.

Pendakwa raya Mesir mengarahkan peranti itu, salah satu daripada dua yang dipanggil kotak hitam di dalam pesawat, diserah kepada pasukan penyiasat Mesir untuk dianalisis.

Peranti itu telah dipindahkan dari kapal John Lethbridge ke bandar pantai Iskandariah, tempat wakil pendakwa raya dan pasukan penyiasat sedang menunggu untuk menerimanya, kata kenyataan itu.

Pesawat itu terhempas di Laut Mediterranean pada 19 Mei, membunuh semua 66 orang di dalamnya.

Kotak hitam itu penting bagi menjelaskan apa yang menyebabkan pesawat Airbus A320 tersebut terhempas.

Perakam data penerbangan mengumpulkan maklumat mengenai kelajuan, ketinggian dan arah pesawat, manakala perakam suara kokpit menjejak perbualan dan bunyi lain dalam kabin juruterbang.

Agensi keselamatan penerbangan Perancis telah berkata pesawat itu menyampaikan mesej automatik menunjukkan asap dalam kabin dan kerosakan pada unit kawalan penerbangan beberapa minit sebelum ia hilang daripada skrin radar.

Pada Isnin (13 Jun), penyiasat Mesir mengesahkan pesawat tersebut belok 90 darjah ke kiri dan kemudian pusing 360 darjah ke kanan, sebelum terhempas di laut. - Reuters, AFP

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 56
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.