Krisis diplomatik Saudi-Iran meluas, tambah buruk

KUWAIT CITY/DUBAI: Kuwait memanggil pulang dutanya dari Iran, manakala kira-kira 150 penerbangan langsung antara Iran dan Arab Saudi dihentikan sedang krisis diplomatik antara dua negara itu melebar.

Ketegangan antara Arab Saudi dan Iran meletus minggu ini ke dalam krisis diplomatik besar-besaran, mencetus kebimbangan meluas mengenai ketidakstabilan Timur Tengah.

Kuwait pada Selasa (5 Jan) menjadi negara terbaru Teluk Arab menarik balik dutanya dari Iran sebagai protes terhadap serangan ke atas kedutaan Arab Saudi di Teheran Sabtu lalu, selepas Riyadh melaksana hukuman mati ke atas seorang ulama terkenal Syiah.

Timbalan Menteri Luar Kuwait, Encik Khaled al-Jarallah, berkata negara itu juga memanggil Duta Besar Iran untuk menyerahkan memorandum yang mengutuk serangan tersebut dan menggesa Iran "menghormati kewajipan antarabangsanya", menurut agensi berita rasmi Kuna.

Beliau menyatakan sokongan Kuwait kepada Arab Saudi dalam langkah-langkah yang diambil untuk melindungi keselamatannya.

Bagaimanapun, Kuwait tidak mengusir utusan atau menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Iran.

Pengumuman itu dibuat selepas Arab Saudi dan Bahrain memutuskan hubungan dengan Iran minggu ini. Emiriah Arab Bersatu (UAE) memanggil semula dutanya dan menurunkan hubungan dengan Teheran.

Menteri Luar Arab Saudi, Encik Adel al-Jubeir, berkata pada Isnin ia telah menghentikan perdagangan dan penerbangan dengan Iran.

Sumber menyatakan kira-kira 150 penerbangan langsung antara Iran dan Arab Saudi, membawa beribu-ribu jemaah setiap bulan, telah dihentikan. Sumber-sumber lain berkata Riyadh telah menutup pejabat haji Iran di Arab Saudi.

Jahan Destinations, ejen jualan am syarikat penerbangan Iran, Mahan Air, berkata tiada penerbangan langsung lagi dari Iran ke Arab Saudi, tetapi jemaah atau penumpang lain boleh mengambil penerbangan sambungan syarikat penerbangan seperti Emirates.

Presiden Iran, Encik Hassan Rouhani, tetap berkeras pada Selasa, dengan berkata Arab Saudi tidak boleh menyembunyikan "jenayahnya" melaksana hukuman mati ke atas seorang ulama Islam Syiah dengan memutuskan hubungan dengan Teheran.

Beliau memberi amaran perpecahan boleh menjejas usaha memerangi pengganasan.

Riyadh menjalankan hukumkan itu ke atas Nimr al-Nimr, seorang pengkritik terkenal dasar Arab Saudi, tiga lagi Muslim Syiah dan 43 pelampau Sunni Al-Qaeda Sabtu lalu, mencetuskan kejadian kedutaan Arab Saudi di Teheran diserang dan juga bantahan oleh Muslim Syiah di tempat lain, termasuk di Iraq dan India.

Washington dan kuasa Barat lain telah menyeru diwujudkan ketenangan di tengah-tengah kebimbangan pertikaian itu boleh menimbulkan ketegangan sekta di seluruh Timur Tengah dan menjejas usaha menyelesaikan konflik dari Syria ke Yaman. - AFP, Reuters

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 46
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.