Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kunjungan Modi ke Rumah Putih buka lembaran baru hubungan AS-India

Jun 23, 2023 | 03:48 PM



WASHINGTON: Hamparan permaidani merah menyambut kunjungan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, ke Rumah Putih pada Khamis dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden menyifatkan hubungan Amerika Syarikat dan India kini memasuki era baru, sedang India cuba mendapatkan sokongan Washington dari segi pertahanan dan perniagaan bagi menandingi pengaruh China di dunia.


Kerjasama antara dua pihak kini “lebih kukuh, rapat dan lebih dinamik berbanding masa lalu dalam sejarah,” kata Encik Biden semasa memberitahu para wartawan di satu sidang akhbar bersama Encik Modi.

Dari segi ekonomi, hubungan “berkembang pesat” dengan perdagangan lebih sekali ganda sepanjang dekad lalu.

Encik Modi mengungkap “satu lembaran baru” menjelma dalam “kerjasama strategik” setelah pemimpin kedua-dua negara itu tampil dari rundingan di Rumah Putih, dengan perbezaan pendirian masing-masing berkaitan Russia dan hak asasi manusia dibincangkan.

Washington ingin India memainkan peranan strategik mengimbangi kekuatan China dan melihatnya sebagai satu kerjasama kritikal, walaupun beberapa penganalisis dan bekas pegawai meragui kesediaan India untuk berdepan dengan China secara bersama dalam isu seperti Taiwan.

Washington kecewa akan hubungan rapat India dengan Russia, sekalipun Moscow melancarkan perang ke atas Ukraine.

Encik Modi cuba menunjukkan bahawa India, sebagai negara dengan penduduk dunia paling ramai – sejumlah 1.4 bilion, mempunyai pengaruh di tengah-tengah ketegangan hubungan dengan China, negara jirannya.

Sidang akhbar itu sendiri menggambarkan tradisi politik yang berbeza apabila buat kali pertamanya Encik Modi menjawab soalan dalam sidang akhbar seperti itu (di Rumah Putih), sepanjang tempoh sembilan tahun beliau menjadi Perdana Menteri India.

Lawatan Encik Modi ini bagaimanapun tidak terlepas daripada tengkarah.

Ucapan beliau yang dijadualkan pada Khamis dalam satu pertemuan di Dewan Kongres, yang lazimnya dilakukan oleh seorang pemimpin negara asing apabila melakukan lawatan, dikatakan cuba dipulaukan oleh sekumpulan anggota dewan itu yang berpendirian liberal.

Beberapa anggota Demokrat – termasuk Cik Alexandria Ocasio-Cortez, Encik Ilhan Omar dan Cik Rashida Tlaib – mengatakan mereka akan memboikot ucapan Encik Modi.

Sedang sekitar 7,000 orang berhimpun dalam satu upacara sambutan berwarna-warni di Rumah Putih, sekumpulan kecil penunjuk perasaan bergabung tidak jauh dari situ untuk membantah pentadbiran Encik Biden memberi sambutan sebegitu gah kepada Encik Modi.

Bagi Encik Biden, faedah daripada bekerjasama dengan sebuah kuasa demokrasi dengan penduduk paling ramai di dunia, semasa ketegangan memuncak dengan pesaingnya China, lebih berbaloi berbanding kos dan risikonya.

“Cabaran dan peluang yang dihadapi dunia dalam abad ini memerlukan India dan Amerika bekerja dan memimpin secara bersama, dan inilah yang kami lakukan,” kata Encik Biden semasa mengalu-alukan kehadiran Encik Modi di Rumah Putih.

Encik Biden berjanji akan berbincang dengan Encik Modi berkaitan hak asasi manusia, kebebasan dan peraturan undang-undang dan beliau memberitahu para wartawan selepas pertemuan mereka bahawa mereka telah mengadakan rundingan secara “berterus-terang”.

Para pegawai pentadbiran Encik Biden mengatakan perjanjian sebenar yang dipersetujui akan diumumkan kelak.

Ia merangkumi bidang semikonduktor, hasil galian kritikal, teknologi, kerjasama ruang angkasa dan penjualan – kesemua itu termaktub dalam hubungan era baru antara kedua-dua negara.

Encik Modi telah lima kali melakukan lawatan ke Amerika sejak beliau menjadi Perdana Menteri India pada 2014, tetapi lawatan kali ini adalah yang pertama bagi beliau diberikan status diplomatik sepenuhnya. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >