Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Laluan dagang di Laut Merah terjejas dek pertikaian berterusan

Jan 07, 2024 | 05:31 AM



Perkara Utama:


* Pusat Pemerintah atau Centcom Amerika Syarikat dari 16 hingga 17 Disember berkata ia menembak jatuh “14 sistem udara tanpa pemandu yang dilancarkan sebagai gelombang dron dari kawasan yang dikawal Houthi di Yaman” di Laut Merah.


* Banyak kapal tangki dan kapal kargo, yang biasanya transit melalui Terusan Suez ke Lautan Hindi sebaliknya sedang dialihkan ke sekitar benua Afrika.


* Houthi Yaman telah menjelaskan niat mereka untuk menyasarkan kapal Israel dan mana-mana kapal yang menuju ke atau dari Israel, sebagai tindak balas terhadap perang negara itu di Gaza.


Serangan dron dan peluru berpandu oleh militan Houthi yang berpangkalan di Yaman telah menjejas penghantaran melalui Laut Merah dan Terusan Suez, laluan laut yang sempit, di mana kira-kira 10 peratus daripada pelayaran perdagangan dunia menggunakannya.

Komando Pusat Amerika Syarikat berkata ia menembak jatuh “14 sistem udara tanpa pemandu yang dilancarkan sebagai gelombang dron dari kawasan yang dikawal Houthi di Yaman”.

Sehari kemudian, syarikat minyak British Petroleum (BP) mengumumkan bahawa ia akan “menghentikan buat sementara” semua transit melalui Laut Merah, berikutan keputusan serupa oleh syarikat gergasi perkapalan Maersk, MSC, Hapag-Lloyd, dan CMA CGM.

Jabatan Pertahanan Amerika, Pentagon, berkata pada 25 Disember, ia membentuk pakatan keselamatan maritim dengan sekutunya, untuk menentang ancaman dan menyediakan perlindungan kepada pengirim, yang pada 26 Disember telah mengalihkan lebih AS$80 bilion ($106.1 bilion) nilai kargo dari Laut Merah.

Banyak kapal tangki dan kapal kargo yang biasanya transit melalui Terusan Suez ke Lautan Hindi, sebaliknya dialihkan ke sekitar benua Afrika.

Ini memerlukan masa pelayaran tambahan antara 14 dengan 15 hari secara purata.

Firma logistik antarabangsa, DHL, memberi amaran bahawa “lencongan itu akan meningkatkan masa transit secara ketara antara Asia dengan Eropah dan memerlukan talian perkapalan untuk meningkatkan kapasiti yang dirancang”.

Perubahan itu telah meningkatkan premium insurans kapal dan menyumbang kepada kenaikan harga minyak.

Kekuatan tentera Amerika di kawasan itu, mungkin tidak mencukupi untuk menghentikan gangguan tersebut.

“Pasukan petugas tentera laut yang berdedikasi akan dapat memintas serangan dron dan peluru berpandu dengan lebih berkesan, dan menghalang operasi menceroboh untuk menaiki kapal.

“Namun pasukan petugas itu tidak akan dapat berada di semua tempat sekali gus,” ujar penganalisis kanan Timur Tengah dan Afrika Utara di Rane, Encik Ryan Bohl, kepada agensi berita.

“Selagi terdapat sejumlah besar kapal awam yang bergerak melalui kawasan ini, Houthi akan mempunyai banyak sasaran untuk dipilih.”

Siapakah militan yang menyerang kapal, dan mengapakah mereka melakukannya? Dan adakah gabungan keselamatan tentera laut yang diketuai Amerika, cukup berkesan untuk menjadikan laluan perdagangan Laut Merah selamat untuk perdagangan?


Houthi terdiri daripada mazhab Syiah Islam yang dipanggil Zaydi Muslims, minoriti di Yaman. Kebanyakan penduduk Yaman berpegangan Sunni yang berakar di sana sejak ratusan tahun lalu.


Mereka muncul sebagai pertubuhan politik dan militan pada 1990-an, menentang pemerintah Yaman atas isu-isu seperti rasuah, pengaruh Amerika dan tanggapan buruk terhadap kumpulan mereka.


Selepas melakukan pemberontakan terhadap negara itu dari awal 2000-an dan seterusnya, Houthi memanfaatkan ketidakstabilan menyusuli gerakan kebangkitan negara Arab atau Arab Spring, untuk menambah bilangan pengikut mereka.


Pada 2014, pemberontak Houthi mengambil alih ibu kota Sanaa, mencetuskan perang dengan pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi dan Barat.


Gabungan Arab yang diketuai Arab Saudi pada 2015, melancarkan serangan terhadap Yaman yang seterusnya mencipta apa yang disebut oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia.


Peperangan berterusan sehingga ke hari ini, dengan gencatan senjata terhad, dan Houthi telah melancarkan ratusan dron dan serangan peluru ke atas Arab Saudi sejak ia bermula, dengan banyak senjata yang didakwa telah disediakan oleh Iran.


Houthi kini menguasai sebahagian besar Yaman, termasuk Sanaa dan pelabuhan penting Laut Merah, Hodeida.


Barisan mereka telah berkembang secara besar-besaran bersama dengan keupayaan ketenteraan mereka, dibantu dengan ketara oleh Iran.


Ada yang menggelar kumpulan itu sebagai proksi Iran, tetapi ramai pakar Yaman mengatakan ia bukan proksi langsung Republik Islam.


Sebaliknya, kedua-duanya mempunyai hubungan yang saling menguntungkan.


Namun Houthi mengejar kepentingan mereka sendiri, yang sering sejajar dengan Iran, dan mereka menikmati sokongan ketenteraan dan kewangan Teheran.


Houthi Yaman telah menjelaskan niat mereka untuk menyasarkan kapal Israel dan mana-mana kapal yang menuju atau dari Israel, sebagai tindak balas terhadap perang negara itu di Gaza, yang setakat ini telah membunuh lebih 20,000 orang dan mencetuskan malapetaka kemanusiaan.


Israel melancarkan serangan balas pada 7 Oktober, selepas kumpulan Hamas melakukan serangan kejam yang membunuh lebih 1,400 orang di selatan Israel dan menjadikan 240 tebusan lagi.


Setakat ini, Houthi telah mengerahkan serangan dron langsung, peluru berpandu antikapal, malah secara fizikal merampas kapal dagang melalui pendaratan helikopter. Dan mereka tidak bercadang untuk berhenti.


Pegawai kanan politik Houthi, Encik Mohammed al-Bukaiti, berkata semasa sidang akhbar pada 26 Disember:


“Walaupun Amerika berjaya menggerakkan seluruh dunia, operasi ketenteraan kita tidak akan berhenti melainkan jenayah pembunuhan di Gaza berhenti, dan membenarkan makanan, ubat-ubatan, dan bahan api untuk dikirimkan kepada penduduknya yang terkepung, tidak kira pengorbanan yang merugikan kita.”


Gabungan tentera laut yang diketuai Amerika, yang masih dibentuk, “secara kolektif mampu mengerahkan pasukan maritim yang besar di Laut Merah,” kata zamil penyelidik kuasa laut di Institut Perkhidmatan Bersatu Diraja, yang berpangkalan di London, Encik Sidharth Kaushal.

Anggota lain dalam inisiatif multinasional itu termasuk Britain, Bahrain, Canada, Perancis, Italy, Belanda, Norway dan Sepanyol.

“Seperti yang telah kita lihat, dengan kegiatan USS Carney baru-baru ini di rantau ini, kapal moden boleh memberikan perlindungan yang besar kepada diri mereka sendiri dan kapal lain, terhadap ancaman udara dan peluru berpandu,” kata Encik Kaushal.


Beliau merujuk kepada kapal pemusnah peluru berpandu Amerika yang menembak jatuh 14 dron.

Namun cabaran itu tetap ada, kata Encik Kaushal, kerana “kos dron dan peluru berpandu yang agak rendah” yang menyasarkan penghantaran dan hakikat bahawa kapal tentera laut masih perlu kembali ke pelabuhan untuk memuatkan semula pemintas pertahanan udara mereka.

Satu lagi risiko utama ialah ancaman peningkatan.

Cara paling berkesan untuk menghapuskan ancaman Houthi adalah dengan menyerang tapak pelancaran mereka – yang “tidak akan mencetuskan kemarahan serantau secara automatik, tetapi masih ada risikonya,” kata Encik Kaushal.

Beliau menambah bahawa “saya tidak fikir sama ada Houthi dan Iran atau Amerika mahu memburukkan lagi keadaan pada masa ini”.

Encik Corey Ranslem, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma keselamatan maritim, Dryad Global, menjangkakan ancaman penghantaran “berterusan untuk masa hadapan selagi konflik berterusan di Gaza”.

“Bergantung pada bagaimana gabungan yang diketuai Amerika, kita juga boleh melihat tahap ancaman terhadap penurunan penghantaran komersial, jika usaha mereka berkesan,” katanya.

Encik Ranslem meramalkan kesan ekonomi yang minimum dalam jangka pendek. Tetapi setiap tahun terdapat “kira-kira 35,000 pergerakan kapal terutamanya kapal perdagangan antara Eropah, Timur Tengah dengan Asia” di rantau Laut Merah, yang menyumbang kira-kira 10 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sejagat, katanya.

Ini bermakna jika ancaman berterusan, negara di rantau tersebut boleh melihat kesan ekonomi yang ketara.

Ekonomi Israel juga boleh terjejas teruk jika lebih banyak syarikat perkapalan menolak untuk mengambil kargo yang dituju ke sana; dua syarikat telah pun melakukan perkara itu.

“Bagi Houthi, cabarannya adalah untuk memberikan ancaman yang cukup untuk menghalang syarikat perkapalan daripada melalui Bab al-Mandab, sambil mengelak tindakan yang boleh mencetus tindak balas ketenteraan luar biasa daripada gabungan yang diketuai Amerika,” kata Encik Torbjorn Soltvedt, penganalisis utama Timur Tengah dan Afrika Utara (Mena), di syarikat risikan risiko, Verisk Maplecroft.

“Houthi tidak perlu secara fizikal menghalang kapal daripada melalui Laut Merah; mereka hanya perlu mencetuskan gangguan yang mencukupi, untuk menjadikan premium insurans maritim sebagai penghalang atau memaksa kebanyakan kapal perkapalan menggantung kegiatan di sana,” kata Encik Soltvedt. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >