Lelaki S'pura cabul 3 budak di Batam boleh dipenjara hingga 15 tahun

SEORANG lelaki warga Singapura ditangkap di Batam kerana didakwa mencabul tiga budak lelaki.

Dia dikatakan mengajar tarian tradisional Jawa 'Kuda Lumping'.

Lelaki berusia 46 tahun itu disyaki mencabul tiga budak lelaki - berusia 12, 15 dan 16 tahun - di sebuah galeri seni tempat dia mengajar dan tinggal bulan lalu.

Akhbar The Straits Times melaporkan itulah sebabnya mengapa jiran tidak mengesyaki apa-apa apabila melihat ramai budak lelaki di rumahnya.

Ramai jiran berkata mereka terkejut apabila polis datang lalu menahan lelaki itu atas tuduhan meliwat.

Akhbar The Jakarta Post pula melaporkan lelaki itu diberkas kelmarin selepas ibu bapa seorang mangsa membuat laporan polis.

"Dia juga menawarkan wang kepada mangsa," kata ketua polis Batam, Komander Kanan Hengky, kepada The Jakarta Post.

Suspek sudah lebih tiga tahun tinggal di Batam. Tempoh itu melebihi visa yang dilulus.

Menurut polis Batam, suspek memberitahu penyiasat bahawa dia bekerja sebagai pekerja bebas dan pemandu pelancong.

Polis Batam telah mengenal pasti tiga mangsa, namun terdapat 10 mangsa berdasarkan bilangan budak lelaki yang datang ke rumah suspek.

Ketua detektif polis daerah Nongsa, Inspektor Kedua Benny Syahrizal, berkata:

"Kanak-kanak di rumah dibawa ke balai polis untuk diperiksa dan dua daripadanya memberitahu kami mereka telah diliwat oleh suspek baru-baru ini."

Kedua-dua kanak-kanak lelaki berumur 15 dan 16 tahun itu pelajar sekolah menengah dan mengaku sering tidur di rumah suspek.

Inspektor Benny berkata suspek memberi wang berjumlah 20,000 rupiah ($2) setelah menyerang mereka.

Polis dimaklumkan mengenai kes itu minggu lalu oleh ibu mangsa ketiga. Mangsa ketiga berusia 12 tahun.

Ibu tersebut menemui mesej antara anaknya dan suspek di Facebook.

"Anak lelaki itu lupa menutup Facebook di telefon bimbit ibunya," kata Inspektor Benny. "Dia mengaitkan apa yang berlaku selepas disoal selama lebih dua jam."

Suspek memikat mangsa ke rumahnya dengan wang atau menggunakan alasan mengajar mereka 'Kuda Lumping'.

Penggiat tarian itu kadang-kadang mendakwa dirasuk dan khayal, serta memperlihat kebolehan luar biasa seperti memakan serpihan gelas.

Suspek berada di Batam sejak 30 Januari 2014.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda sehingga 5 bilion rupiah.

Waktu Solat

Subuh
5:30
Syuruk
6:48
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:53
Isyak
8:03
3 HR PSI: 32
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.