Mahathir dikritik kerana cari bantuan asing bagi singkir Najib

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dikritik oleh ahli politik Barisan Nasional (BN) kerana mencari campur tangan asing bagi menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tun Dr Mahathir berkata dalam satu temu bual dengan akhbar The Weekend Australian bahawa peluang menewaskan Datuk Seri Najib, yang dikritik kerana skandal hutang firma pelaburan kerajaan 1MDB, tipis jika tidak ada tekanan luaran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pada Ahad (10 Apr) bahawa Dr Mahathir, semasa berkuasa dari 1981 hingg 2003, sering mengingatkan pegawai kerajaan dan pemimpin parti supaya jangan bekerjasama dengan kuasa asing untuk memburukkan imej Malaysia atau merosakkan negara.

"Dia pernah marah kita jika kita bekerjasama dengan orang asing, malah sebahagian daripada kita dituduh sebagai ejen asing," kata Datuk Ahmad Zahid kepada pemberita selepas menutup sebuah acara, Jelajah Kebajikan 1Malaysia, di Perak, menurut akhbar New Straits Times.

Secara berasingan, Kelab Veteran Umno berkata ia mahu tindakan diambil terhadap Dr Mahathir di bawah Akta Hasutan, lapor agensi berita Bernama.

"Veteran Umno tidak mahu kerajaan berkompromi dalam perkara yang memberi kesan terhadap kestabilan negara, dan kita tidak boleh membenarkan mana-mana warganegara sabotaj negara sendiri," kata setiausaha kumpulan itu, Datuk Mustapha Yaakub, dalam satu kenyataan.

Dr Mahathir keluar daripada Umno Februari lalu dan menyertai pembangkang menyeru Datuk Seri Najib meletak jawatan kerana skandal 1MDB, yang dilanda hutang RM50 bilion ($17.2 bilion) sehingga Januari tahun ini, dan menerima AS$681 juta ($919 juta) wang yang beliau pertahankan sebagai sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Saudi.

Saranan Dr Mahathir bagi "campur tangan asing" dalam hal ehwal domestik Malaysia turut diselar Persatuan Cina Malaysia (MCA). Pengerusi biro keharmonian agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, berkata saranan itu sama seperti pengkhianatan, lapor akhbar The Star.

"Ini adalah kegilaan politik dan satu tindakan terdesak oleh seorang lelaki yang tidak pernah gagal dalam menyingkir sembarang pemimpin yang dia mahu," kata Datuk Seri Ti.

Naib presiden parti Kongres India Malaysia (MIC), Datuk Seri S. K. Devamany, berkata tindakan Dr Mahathir akan hanya membawa kemudaratan kepada ekonomi dan rakyat Malaysia.

Beliau berkata tindakan Dr Mahathir juga akan menyebabkan pelaburan langsung asing terjejas.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 26
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.