Banyak tindakan saman mula difail keluarga korban MH370

KUALA LUMPUR: Keluarga terdekat penumpang penerbangan Malaysia Airlines MH370 telah mula memfailkan tindakan undang-undang berhubung kehilangan pesawat itu, sedang tarikh akhir 8 Mac tempoh dua tahun untuk berbuat demikian semakin hampir.

Sebahagian daripada mereka berharap penelitian mahkamah akan membantu mendedahkan jawapan mengenai apa yang pesawat malang itu.

Beberapa firma undang-undang Amerika Syarikat, Malaysia dan Australia berkata mereka mula memfail saman bagi pihak puluhan saudara-mara daripada 239 orang dalam pesawat itu, menuntut ganti rugi yang tidak didedahkan.

Di bawah perjanjian antarabangsa, keluarga mempunyai dua tahun untuk menyaman berkaitan kemalangan udara.

Ganti rugi akan dibayar oleh syarikat insurans Malaysia Airlines, Allianz, yang berpangkalan di Jerman, bermakna ia tidak akan memberi kesan kepada syarikat penerbangan yang bergelut dengan amsalah kewangan itu.

Bagaimanapun, ada keluarga merancang menyaman pihak berkuasa penerbangan awam Malaysia dan tentera kerana kehilangan jejak MH370, kata peguam, dan sekurang-kurangnya satu akan menyasarkan pengeluar pesawat itu, Boeing.

Jika berjaya, jumlah pembayaran boleh mencapai "beratus-ratus juta" dolar, kata Encik Joseph Wheeler, seorang peguam Australia yang sedang mencari penyelesaian di luar mahkamah bagi empat keluarga terdekat dari Malaysia sebelum tarikh akhir.

Pesawat dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu hilang tidak lama selepas berlepas pada 8 Mac 2014.

Penyiasat percaya ia bertukar haluan dan terhempas di Lautan Hindi, tetapi lokasi mahupun punca kemalangan itu belum ditemui.

Di bawah perjanjian antarabangsa, keluarga secara automatik mendapat pampasan kira-kira AS$160,000 ($224, 600) bagi setiap penumpang.

Bagaimanapun, mereka boleh menyaman bagi tuntutan lebih tinggi, dan Malaysia Airlines perlu membuktikan ia tidak bersalah, satu tugas sukar kerana kekurangan petunjuk.

Antara kes utama, 43 orang, hampir semuanya warga Cina, menyaman di New York pada awal Februari, menurut satu salinan kes mereka. MH370 membawa 152 penumpang warga China.

Sebuah firma berpangkalan di Miami sedang mengendalikan pelbagai tindakan undang-undang melibatkan hampir 200 keluarga terdekat dari beberapa negara, kata seorang peguamnya, Encik Roy Altman.

Potensi pelbagai tindakan saman itu berjaya masih tidak jelas memandangkan keadaan luar biasa kehilangan pesawat tersebut dan bidang kuasa, kata peguam. - AFP

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 43
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.