Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Mampukah Priyanka Gandhi pulihkan kuasa Kongres India?

Nov 20, 2021 | 05:30 AM



DALAM satu rapat pilihan raya baru-baru ini, Cik Priyanka Gandhi Vadra - keturunan keluarga Nehru-Gandhi yang menguasai parti pembangkang Kongres - melangkah ke pentas dan meminta orang ramai mengikuti katanya: "Saya seorang wanita, saya boleh melawan!"



Slogan itu menjadi mauduk utama dalam usaha parti itu mahu memulihkan nasibnya di Uttar Pradesh - negeri paling ramai penduduk di India dan bakal mengundi pada awal tahun depan - dengan memenangi pengundi wanita yang telah lama dipinggirkan tetapi kini mula bersuara.



Keputusan di Uttar Pradesh akan memberi petunjuk sama ada Kongres, yang menguasai politik India selama beberapa dekad, boleh memberi cabaran kepada Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, dan parti nasionalis Hindunya Bharatiya Janata (BJP) dalam pilihan raya umum akan datang pada 2024.



Encik Modi mula berkuasa pada 2014 atas janji pertumbuhan ekonomi dan India moden yang kuat, dan memperoleh kemenangan meyakinkan dalam pilihan raya 2019. Kebangkitan beliau berlaku sedang parti Kongres, yang berusia 136 tahun, mula merosot sebahagiannya kerana masalah dalaman kepimpinan.



Encik Rahul Gandhi, abang kepada Cik Gandhi Vadra, tidak dapat memenangi hati pengundi dan kemudian meletak jawatan sebagai ketua Kongres pada Julai 2019 selepas parti itu kalah teruk pada pilihan raya itu.



Parti itu diketuai ibu mereka, Cik Sonia Gandhi, sebagai presiden sementara, menambahkan tanggapan sesetengah pihak bahawa parti itu kolot dan terlalu bergantung kepada keluarga Gandhi, lapor Reuters.



Dengan pendekatan sekularnya, Kongres menggambarkan dirinya sebagai parti nasional inklusif dan berharap rayuan kepada wanita yang diketuai Cik Gandhi Vadra, yang hanya memasuki politik pada 2019.



PERJUANG NASIB WANITA



Satu rentetan kes keganasan terhadap wanita telah mencemaskan pengundi di seluruh India, khususnya di Uttar Pradesh, yang menurut data pemerintah, menghadapi jumlah jenayah ke atas wanita tertinggi di negara itu, dan Cik Gandhi Vadra menjanjikan perubahan buat wanita.



"Saya ingin memberitahu wanita bahawa saya akan berjuang buat mereka, parti Kongres akan berjuang buat mereka," kata Cik Gandhi Vadra baru-baru ini di Gorakhpur, kubu kuat BJP.



Di Uttar Pradesh, BJP telah dikritik kerana cara ia mengendalikan kes keganasan terhadap wanita serta pandemik Covid-19. Ia juga menghadapi bantahan besar kumpulan petani yang menentang liberalisasi pertanian oleh Encik Modi.



Peratusan wanita yang tinggi menghadiri perhimpunan Gorakhpur itu - kira-kira satu perempat daripada anggaran 40,000 orang - memberi petunjuk bahawa mesej Kongres mungkin diterima.



"Orang ramai, terutamanya wanita, telah mula melihat Kongres dengan penuh harapan, bahawa parti itu berdiri bersama wanita dan menjadi suara mereka," kata Cik Sunita Mishra, 40 tahun, pekerja parti di perhimpunan itu kepada Reuters.



Pengundi menyambut baik ikrar Kongres untuk meletak calon wanita di 40 peratus daripada 403 kawasan dewan undangan negeri, kata Cik Mishra.



MASALAH DALAMAN PARTI



Namun, Kongres di Uttar Pradesh sedang mengalami beberapa masalah dalaman - mencerminkan masalahnya yang serupa di peringkat kebangsaan - dengan kekecewaan dalam kalangan anggota dan peletakan jawatan anggota kanan sedang Cik Gandhi Vadra cuba meluaskan pengaruhnya, kata beberapa pegawai parti.



"Kepimpinan hanya mendengar pengampu dan bilangan orang seperti ini telah meningkat dalam parti dalam tempoh dua tahun lepas," kata Encik Rana Rahul Singh, bekas calon Kongres dari Gorakhpur yang baru-baru ini keluar dari parti.



"Pekerja akar umbi di Kongres diabaikan."



Namun, jurucakap parti, Cik Supriya Shrinate, berkata penyusunan semula sedang dilakukan.



"Perubahan adalah tidak menyenangkan tetapi perubahan adalah baik. Dalam jangka panjang, perubahan ini akan berkesan," ujarnya.



Pada pilihan raya negeri 2017, Kongres yang bertanding dalam satu gabungan hanya memenangi tujuh daripada 114 kerusi yang ditandinginya, manakala BJP menang 312.



Peratusan pengundi wanita di seluruh India meningkat secara berterusan dan beberapa negeri kini mempunyai lebih ramai wanita yang membuang undi berbanding lelaki, kata Encik Praveen Rai dari Pusat Kajian Masyarakat Membangun di New Delhi.



Pada rapat Gorakhpur, presiden Kongres daerah, Cik Nirmala Paswan, berkata beliau menaruh harapan pada Cik Gandhi Vadra.



"Ramai wanita dekati kami untuk menyertai parti ini," katanya. "Perubahan akan datang dan wanita yang akan membawanya."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >