Maut, cedera parah dek lungsur dalam troli di jalan curam

SYDNEY: Seorang lelaki mati dan rakannya cedera parah pada Selasa (10 Nov) selepas mereka menaiki sebuah troli beli-belah di sebatang jalan curam di Sydney, dilaporkan pada kelajuan 80 kilometer sejam.

Dua kawan dari Sweden itu sedang berjalan pulang di Randwick, sebuah pinggir bandar, sejurus selepas tengah malam apabila mereka ternampak sebuah troli terbiar.

Dengan seorang daripada mereka masuk ke dalam troli itu dan seorang lagi berdiri di belakang, mereka melungsur Coogee Bay Road ke arah pantai Sydney yang terkenal.

Menurut polis, tidak lama selepas itu troli tersebut merempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

Lelaki dalam troli beli-belah itu terhumban keluar dan jatuh di kaki lima, sementara yang seorang lagi jatuh di tengah jalan.

Seorang daripada mereka maut di tempat kejadian sementara rakannya dikejarkan ke hospital selepas dibantu di tempat kejadian oleh pemandu kereta tersebut dan seorang penunggang basikal.

Kededua lelaki itu berusia 28 dan seorang daripada mereka sedang belajar di Australia.

Polis berkata mereka mungkin sedang bermain dengan troli tersebut atau menggunakannya sebagai kenderaan apabila kemalangan itu berlaku.

"Anggarannya ialah mereka melungsur kira-kira 80 kilometer sejam dalam troli itu, jadi pastinya agak laju," kata Ketua Inspektor Chris Stiles.

"Mereka mungkin sedang berseronok bermain hingga menyebabkan kejadian buruk itu," katanya. - AFP

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 72
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.