Melania Trump nafi langgar undang-undang imigresen AS

NEW YORK: Cik Melania Trump, isteri calon presiden Republikan, jutawan Donald Trump, menafikan laporan pada Khamis (4 Ogos) yang mempersoal apakah beliau pernah bekerja secara haram sebagai pendatang.

Ia tengkarah ketiga mengenai dirinya dalam masa kurang tiga minggu yang wanita berpotensi menjadi wanita pertama itu atau kempen Trump terpaksa tangani.

"Ada banyak laporan tidak tepat dan maklumat salah mengenai status imigresen saya hingga pada 1996," kata Cik Melania dalam satu kenyataan pada Khamis.

"Biar saya nyatakan perkara sebenar. Saya sepanjang masa mematuhi sepenuhnya undang-undang imigresen di negara ini. Habis perkara," katanya.

"Sembarang dakwaan sebaliknya tidak benar sama sekali," ujar Cik Melania, yang menjadi warga Amerika Syarikat pada 2006 - setahun selepas berkahwin dengan Encik Trump.

Laman berita Politico menimbulkan pada Khamis persoalan tentang status imigresen Cik Melania semasa beliau mula-mula datang ke Amerika untuk bekerja sebagai model pada pertengahan 1990-an.

Gambar beliau dalam pakaian agak lucah, yang diterbitkan dalam tabloid New York Post minggu ini, "secara tidak sengaja menyerlahkan ketidakkonsistenan" dalam pelbagai cerita yang diberi beliau selama ini, kata Politico.

"Pakar imigresen berkata ada juga kemungkinan tipis bahawa gambaran salah yang sudah bertahun lama kepada pihak berkuasa imigresen boleh menimbulkan masalah baginya sekarang," lapor laman berita itu.

Encik Trump berkempen secara agresif atas satu platform yang berjanji akan menghapuskan pendatang tanpa izin ke Amerika.

Ia kontroversi ketiga melibatkan Cik Melania dalam masa kurang tiga minggu.

Pada 18 Julai, beliau menyampaikan ucapan di Konvensyen Kebangsaan Republikan yang menciplak ucapan Wanita Pertama Michelle Obama.

Skandal itu pada mulanya ditolak sebagai "tidak masuk akal" oleh kempen Encik Trump, tetapi kemudiannya mereka mengaku perkara tersebut.

Minggu lalu, Cik Melania juga mengesahkan laman web profesional beliau telah dipadam selepas media Amerika mempersoal dakwaan beliau mempunyai ijazah dalam seni bina dari Universiti Ljubljana di Slovenia.

Laman web itu dikeluarkan "kerana ia tidak menggambarkan dengan tepat kepentingan perniagaan dan profesional semasa saya", tulis beliau dalam tweet.

Dalam temu bual baru-baru ini, Cik Melania tidak mendakwa beliau mempunyai ijazah, tetapi hanya "belajar" reka bentuk dan seni bina sebelum memutuskan menjadi model di Milan dan kemudian, Paris.

Selepas New York Post menyiarkan gambar agak lucah Cik Melania minggu ini, kempen Trump berkata "tidak ada apa yang harus dimalukan" mengenai gambar-gambar itu dan ia "merai tubuh manusia sebagai seni". - AFP

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 19
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.