Mendiang Williams gantung diri dengan tali pinggang

SAN RAFAEL (California): Pelakon dan pelawak terkenal Hollywood, Robin Williams, telah menggantung dirinya dengan tali pinggang di dalam bilik di rumahnya.

Menurut Sherif Marin County, Leftenan Keith Boyd, isteri Williams melihat suaminya buat kali terakhir pada malam Ahad lalu ketika hendak tidur.

Setelah bangun tidur pada pagi berikutnya, beliau kemudian meninggalkan rumah, menyangka Williams masih tidur di bilik tidur berasingan di kediaman mereka di bandar Tiburon di utara San Francisco.

Tidak lama kemudian, pembantu peribadi Williams mengunjungi rumahnya dan berasa bimbang apabila Williams tidak menjawab ketukan pintu bilik tidurnya.

Pembantu peribadinya menemui pelakon berusia 63 tahun itu mati di bilik tidurnya.

Mendiang Williams ditemui Isnin oleh pembantu peribadinya "dalam keadaan duduk tetapi tidak bergerak dengan seutas tali pinggang melilit lehernya dengan hujung tali pinggang disepitkan antara pintu almari baju dan kerangka pintu.

Leftenan Boyd berkata, semua bukti menjurus kepada perbuatan bunuh diri.

Bagaimanapun, keputusan muktamad akan dibuat selepas mendapat laporan forensik dan temu ramah dengan saksi.

Leftenan Boyd enggan menyatakan sama ada nota bunuh diri ditemui tetapi beliau mendedahkan sebilah pisau kecil dengan darah kering di bilah pisau sedang dianalisa.

Mendiang Williams terkenal kerana watak yang dipegang dalam filem 'Good Will Hunting', 'Mrs Doubtfire', 'Good Morning Vietnam' dan banyak lagi filem lain.

Hollywood juga turut bersedih dengan kematian itu dan menyifatkan kehilangannya sukar untuk dicari ganti.

Kebanyakkan bintang dan seniman Amerika melahirkan rasa hiba di laman sosial masing-masing kerana terkejut dengan kematian itu.

Pelakon pembantunya dalam filem Shrink, Kevin Spacey berkata, mendiang Williams adalah seorang lelaki hebat yang dikenalinya.

"Dia membuatkan kita ketawa, dia buatkan kita sedih. Saya akan sentiasa merindukannya," kata Spacey.

Gandingan mendiang Williams dalam filem Good Will Hunting, Minnie Driver, pula berkata hatinya hancur selepas mendengar berita sedih itu.

"Robin seorang yang kacak, penyayang dan saya tidak dapat menerima kenyataan pemergiannya. Takziah buat keluarganya," kata Driver. - AFP.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 49
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.