Menteri Besar Selangor hadapi lembaga disiplin PKR esok

KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menetapkan esok untuk mendengar penjelasan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas kegagalan beliau mendengar arahan parti agar meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor.

Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Tan Kee Kwong, juga meminta Tan Sri Khalid menjawab lima lagi isu iaitu penstrukturan air, elaun baharu menteri besar, kenaikan kadar lesen perniagaan, pinjamannya dengan Bank Islam dan cadangan pembinaan Lebuhraya Kidex.

Tan Sri Khalid diminta menghadiri perbicaraan itu jam 3 petang esok di ibu pejabat PKR atau alternatifnya sebelum jam 12 tengah hari pada Sabtu.

"Dengan ini dimaklumkan, (Tan Sri) Khalid diminta hadir ke sesi pendengaran Lembaga Disiplin pada 8 Ogos di Ibu Pejabat PKR.

"Sekiranya tarikh tersebut tidak sesuai, Lembaga Disiplin mencadangkan tarikh lain iaitu sebelum jam 12 tengahari pada 9 Ogos," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan Sri Khalid semalam melabelkan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin PKR sebagai "cacat" dan meminta satu notis yang lebih jelas dan spesifik dikeluarkan.

Sambil menegaskan tidak akan menjawabnya sehingga menerima notis yang sah, menteri besar Selangor yang dalam proses penyingkiran itu sebaliknya menjelaskan mengenai "Langkah Kajang".

Katanya, wajar dijelaskan secara bertulis pelanggaran yang dilakukan terhadap mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan parti atau peruntukan lain di mana hukuman boleh dikenakan terhadapnya.

"Sementara menunggu notis tunjuk sebab yang sah, saya ingin menarik perhatian, pada setiap masa material, 'Langkah Kajang' adalah sesuatu perkara yang tidak dibincang oleh pihak berkenaan dalam cara yang efektif dan adil dengan dan kepada saya," katanya.

Datuk Tan berkata, selain kenyataan media yang dibuat Tan Sri Khalid pada 22 Julai lalu, Adun Pelabuhan Klang itu turut diminta memberikan penjelasan beberapa perkara lain. - The Malaysian Insider

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 52
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.