Muhyiddin salahkan kepimpinan parti

Sokongan Melayu terhadap Umno didakwa merosot 30 peratus

PAGOH (Johor Bahru): Sokongan orang Melayu terhadap Umno jatuh kepada 30 peratus, kerana skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sambil menyalahkan kepimpinan parti.

Malaysiakini melaporkan timbalan presiden Umno itu sebagai berkata, menurut kajian Merdeka Centre sebelum ini 50 peratus sokongan masyarakat terhadap parti Melayu itu.

"Namun sejak kebelakangan ini ia berkurangan kepada 30 peratus.

"Begitu juga dengan (peratusan) orang berpuas hati dengan keadaan ekonomi sekarang hanya pada 17 peratus dan terdapat 78 peratus yang tidak berpuas hati dengan keadaan ini.

"Tahap sokongan kaum Cina terhadap kerajaan juga berkurangan daripada 13 peratus pada pilihan raya umum lepas dengan hanya 5 peratus pada masa ini.

"Ini adalah realiti yang dihadapi Umno akibat kepimpinan sekarang, kerana 1MDB. Jika tidak diperbetulkan, dalam tempoh dua tahun, Umno boleh kalah," kata Tan Sri Muhyiddin pada perhimpunan anjuran Umno Bahagian Pagoh semalam.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berharap pucuk pimpinan Umno tidak akan mengabaikan kajian itu, kerana ia mewakili sentimen orang ramai.

Menurut Malaysiakini, Tan Sri Muhyiddin berkata, sokongan berkurangan tersebut membuatkan dirinya menyuarakan skandal 1MDB kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

"Tindakan saya untuk cuba membetulkan keadaan dan membetulkan parti.

"Anda (Datuk Seri Najib) adalah orang yang bertanggungjawab yang mencipta masalah ini. Berapa lama saya harus berdiam diri mengenai perkara ini?", soalnya seperti dilaporkan portal itu.

Tan Sri Muhyiddin digugurkan sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan dalam rombakan Kabinet Julai lalu kerana secara terbuka mempersoalkan cara Najib mengendalikan isu 1MDB dan mengkritik sumbangan RM2.6 bilion disalurkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

Meskipun masih kekal sebagai timbalan presiden, namun Tan Sri Muhyiddin kehilangan wadah untuk bercakap kepada ahli selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno minggu lalu.

Tradisi perhimpunan sebelum ini, timbalan presiden Umno akan memberikan ucapan perasmian bagi perhimpunan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Bagaimanapun, peluang Tan Sri Muhyiddin untuk berucap sudah dilucutkan. - The Malaysian Insider, Malaysiakini

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 49
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.