Nahas MH370: M'sia mohon batal saman lima keluarga

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan tiga pihak lagi memfailkan permohonan bagi membatalkan saman difailkan lima sekeluarga yang menuntut ganti rugi berhubung kematian tiga anggota keluarga mereka yang merupakan penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Cik Sangeet Kaur Deo, ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab hari ini.

Cik Sangeet, yang mewakili dua anak pasangan suami isteri yang terkorban dalam penerbangan itu, berkata, mahkamah menetapkan 28 Januari depan untuk pengurusan kes.

Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri Peguam Persekutuan, Encik Shaiful Nizam Shahrin mewakili kerajaan Malaysia.

Utusan Online dalam laporannya yang memetik laporan Bernama menyatakan, keempat-empat defendan dalam kes saman berkenaan iaitu kerajaan, Malaysia Airlines Berhad (MAB), Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 23 Disember lalu.

Keempat-empat defendan dalam permohonan itu memohon supaya saman berkenaan dibatalkan atas alasan tuntutan plaintif bersifat remeh, menyusahkan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

MAB, selaku defendan kedua, berkata MAB hanya diperbadankan pada 7 November 2014, iaitu lapan bulan selepas berlakunya kejadian yang melibatkan penerbangan pesawat MH370 dan bukan merupakan syarikat pengganti kepada Malaysia Airlines System Berhad (MAS), yang turut dinamakan sebagai defendan pertama dalam kes saman berkenaan.

"Akta MAS (Pentadbiran) 2015 (Akta 765) tidak secara 'ipso facto' meletakkan atau memindahkan liabiliti defendan pertama (MAS) kepada defendan kedua (MAB)," kata MAB dalam permohonan itu.

Pada 28 Ogos lalu, lima sekeluarga itu memfailkan saman terhadap kelima-lima defendan bagi menuntut ganti rugi atas kehilangan Encik Tan Ah Meng, 46, dan isterinya Cik Chuang Hsiu Ling@Cindy Chuang, 45, masing-masing merupakan pengarah syarikat kejuruteraan dan pembinaan serta anak sulung pasangan itu, Tan Wei Chew, 19.

Saman itu difailkan dua anak pasangan terbabit iaitu Tan Wei Hong, 15, dan Tan Wei Jie, 13, ibu bapa kepada Ah Meng, Encik Tan Hun Khong, 84, dan Cik Lai Chew Lai, 82, serta ibu Hsiu Ling, Cik Chuang Hung Chien, 75, yang merupakan warga Taiwan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kesemua plaintif mendakwa, MAS memungkiri kontrak apabila gagal memastikan pesawat berkenaan berada dalam keadaan baik dan sempurna hingga menyebabkan penumpang dan pesawat MH370 gagal dikesan.

Mereka mendakwa akibat kecuaian defendan, kedua-dua anak pasangan itu menjadi yatim piatu secara tiba-tiba serta kehilangan abang sulung mereka dan kejadian itu menyebabkan mereka mengalami penderitaan dan kehilangan termasuk sokongan kewangan dan kasih sayang.

Plaintif juga mendakwa semasa kehilangan perhubungan, DCA gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk berhubung semula atau melancarkan pencarian pesawat itu selain mendakwa kehilangan pesawat boleh dihindarkan jika panglima TUDM memantau radar dalam masa sebenar dan mengambil segala tindakan ketika kejadian itu berlaku.

Sehubungan itu, mereka menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif, ganti rugi am, ganti rugi kehilangan sokongan, ganti rugi teruk dan teladan, kos, faedah serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 29 Januari lalu, Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang mewakili kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa kehilangan pesawat MH370 diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap terkorban.

Pesawat Boeing 777-200ER itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.40 tengah malam, 8 Mac 2014 menuju ke Beijing. Sejam kemudian pesawat itu hilang daripada radar.

Pada 29 Julai 2015 satu komponen sayap dipanggil 'flaperon' ditemui di pulau Reunion di Lautan Hindi. Usaha pencarian masih diteruskan. - Utusan Online

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:04
Isyak
8:19
3 HR PSI: 19
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.