Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Najib disoal agensi antirasuah lima jam, dikehendaki datang lagi

Ketua baru SPRM dakwa pernah desak menteri Kabinet dan Majlis Raja-Raja gantikan mantan PM lepas terdapat bukti penyelewengan dana 1MDB
May 23, 2018 | 05:30 AM



PUTRAJAYA: Mantan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, disoal kira-kira lima jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat dana pelaburan kerajaan yang dilanda skandal berbilion ringgit, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).



Beliau tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sebelum 10 pagi dan keluar hanya pada kira-kira 3.15 petang.



Dalam ucapan ringkas kepada media selepas keluar daripada SPRM, Datuk Najib berkata beliau dikehendaki pergi lagi ke SPRM esok untuk disoal lebih lanjut.



Datuk Najib memberitahu pemberita siasatan oleh sepasukan pegawai itu dijalankan secara profesional dan beliau diberi rehat setengah jam semasa sesi tersebut.



"Saya telah memberikan satu kenyataan pada 2015 mengenai isu SRC. Kenyataan saya hari ini ialah satu lanjutan yang lebih terperinci dan untuk mengesahkan beberapa dokumen," katanya.



Sebelum itu pada 11.30 pagi, Ketua Pesuruhjaya baru SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, berkata bekas perdana menteri itu tidak akan ditangkap, dan sebaliknya, kenyataannya akan direkodkan sebelum sembarang tindakan boleh diambil.



Dalam satu sidang media, Datuk Seri Shukri juga berkata SPRM akan mengambil kenyataan dua saksi penting berkaitan SRC International dan 1MDB, sebelum meneruskan sembarang tangkapan.



"Sehingga kami mendapat dua saksi sangat penting, maka anda akan mendapat ceritanya. Kes ini ada di bawah Datuk Seri Azam Baki (Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM).



"Bergantung pada keterangan dan dokumen serta bergantung pada cara beliau menjawab... jika kami berpuas hati, kami boleh membenarkannya pergi, tetapi jika kami masih memerlukan kenyataannya lagi, kami akan memanggilnya semula," kata Datuk Seri Shukri, dalam sidang media yang agak beremosi itu apabila beliau menceritakan pengalaman pahit yang dilaluinya semasa menyiasat skandal itu dulu.



Namun, Datuk Shukri berkata SPRM menghormati Datuk Najib sebagai mantan perdana menteri dan beliau sendiri tidak akan membalas dendam terhadap sesiapa.



"Kita mesti menghormatinya kerana beliau bekas PM kita, saya tidak akan membalas dendam terhadap sesiapa tetapi akan membiarkan undang-undang bercakap," katanya.



Pada Jumaat lalu, sepasukan pegawai SPRM pergi ke rumah Datuk Najib di Taman Duta di Kuala Lumpur untuk memberi notis kepadanya agar datang ke ibu pejabat agensi antirasuah itu untuk memberi kenyataan mengenai kes SRC International.



Beliau muncul seperti dijadualkan pagi semalam di ibu pejabat SPRM, di mana lebih 50 ahli media, tempatan dan antarabangsa, telah berkumpul sejak 9 pagi.



Pada malam kelmarin, Datuk Najib membuat keputusan saat akhir menukar pasukan peguamnya, menggantikan Datuk Harpal Singh Grewal dan rakannya, Encik M. Athimulan, dengan mantan peguam acara negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin.



Sekiranya tidak datang ke pejabat SPRM, Datuk Najib boleh didakwa di bawah Akta SPRM.



SRC International ditubuhkan pada 2011 oleh kerajaan Datuk Najib bagi melakukan pelaburan luar negara dalam sumber tenaga, dan merupakan unit 1MDB hingga ia dipindahkan ke Kementerian Kewangan pada 2012.



Datuk Najib secara konsisten menafikan sembarang salah laku berkaitan 1MDB sejak skandal itu meletus pada 2015, tetapi semasa menjadi perdana menteri, beliau menggantikan seorang peguam negara dan beberapa pegawai SPRM, dikatakan bagi menutup siasatan yang sedang mereka jalankan ke atas skandal tersebut.



Beliau berkata wang RM2.6 bilion ($876.7 juta) yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya adalah derma daripada kerajaan Arab Saudi, menafikan laporan bahawa ia datang daripada 1MDB.



Di bawah pentadbiran baru Pakatan Harapan yang diterajui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, SPRM membuka semula siasatannya, dengan tindakan awal memberi fokus pada isu bagaimana dana sebanyak RM42 juta daripada SRC International dimasukkan ke akaun Datuk Najib.



Wang itu dikatakan mengalir daripada SRC International ke beberapa pengantara kewangan sebelum dimasukkan ke dalam akaun pribadi Datuk Najib, menurut peguam dan pegawai kerajaan yang biasa dengan sesiatan.



Perantara yang menjadi tumpuan siasatan rasuah termasuk Putra Perdana Construction Sdn Bhd, cabang pembinaan syarikat pembangunan hartanah berdaftar Putrajaya Perdana Bhd dan Permai Binaraya Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Putra Perdana.



Dalam sidang media semalam, Datuk Shukri mendedahkan beliau bersama Tan Sri Abu Kassim Mohamed, ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, bertemu menteri Kabinet dan Majlis Raja-Raja bagi mendesak supaya Datuk Najib digantikan sebagai Perdana Menteri selepas terdapat bukti berlaku penyelewengan membabitkan 1MDB.



Menurutnya, inisiatif mengadakan pertemuan itu digerakkan Tan Sri Abu Kassim.



"Kami berpecah untuk bertemu dengan semua menteri merayu dan meminta supaya buang dan gantilah Najib dengan orang lain, dengan (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) ke, (Datuk Seri) Hishammuddin (Hussein) ke, sebab jumlahnya terlalu besar RM2.6 bilion.



"Daripada semua menteri yang kami temui, hanya tiga sahaja berani bersuara iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Yang lain semua takut.



"Sekarang apabila sudah tidak jadi menteri, ada yang telefon saya dan kata 'kalau saya dengar cakap kamu dulu pasti tidak akan jadi macam ini' (BN tewas dalam pilihan raya umum)," katanya.



Turut hadir dalam sidang media itu ialah Datuk Azam; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil; dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Jaafar Mahad.



Datuk Shukri berkata selepas usaha meyakinkan menteri tidak berjaya, beliau dan Tan Sri Abu Kassim mengambil inisiatif berjumpa Majlis Raja-Raja.



"Kami jumpa Majlis Raja-Raja dua kali dan mohon kepada Tuanku supaya tengok masalah 1MDB ini dan gantikan Najib sebagai Perdana Menteri tetapi kami hampa," katanya.



Datuk Shukri turut mendedahkan bahawa beliau ditemui sebanyak dua kali oleh seorang Ahli Parlimen daripada utara Semenanjung yang bertanya apakah beliau mahu sesuatu apabila menyiasat penyelewengan 1MDB dan mahu Datuk Najib disingkirkan.



"Saya tegaskan supaya jangan ganggu siasatan saya. Biar kami tamatkan siasatan dan serahkan kepada Peguam Negara untuk putuskan.



"Kali kedua Ahli Parlimen ini datang dan tanya, saya kata kepadanya 'kalau Datuk tanya lagi, saya akan tangkap mengikut Akta SPRM," katanya. - The Star Online, ST Online, BH Online.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >