Operasi kesan pemandu S'pura belum bayar saman di Johor

JOHOR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Trafik akan menjalankan satu lagi operasi bagi mengesan pemandu Singapura yang masih belum menjelaskan saman tertunggak mereka.

Tumpuan operasi itu akan dijalankan di beberapa jalan raya di kawasan bandar yang sering digunakan oleh warga Singapura apabila mereka memasuki Malaysia.

Timbalan Ketua Trafik Johor, Superintenden Roslan Ali, mendedahkan sehingga 85 peratus daripada sekitar 313,661 saman yang dikeluarkan kepada pemandu Singapura dari tahun 2010-2013 adalah bagi kesalahan memandu melebihi had laju di Lebuh raya Utara Selatan.

Kebanyakan pemandu Singapura itu dikesan memandu laju di Lebuh raya Utara Selatan di kawasan Johor dan Melaka.

"Polis Trafik Negeri (Johor) memandang serius kesalahan warga asing yang masih belum menjelaskan saman tertunggak mereka," jelas Superintenden Roslan yang mendedahkan satu lagi operasi akan dijalankan bagi mengesan pemandu Singapura menyusuli operasi yang dijalankan Polis Trafik Bukit Aman dan Polis Trafik Johor, bulan lalu.

Dalam operasi itu, Polis Johor mengutip kira-kira RM2.4 juta ($920,000) dalam tempoh enam hari hasil Ops Saman Warga Asing.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata jumlah itu dikutip daripada 15,470 saman warga Singapura yang tertunggak.

Operasi khas itu, dari 27 Disember hingga 1 Januari lalu dijalankan bersama pasukan polis trafik di ibu pejabat polis di Bukit Aman.

Sekitar RM1.3 juta dikutip menerusi bayaran tunai, manakala RM1.1 juta lagi dibayar pesalah menerusi kad kredit.

Operasi itu dijalankan di tiga lokasi iaitu di kawasan rehat dan rawat Gelang Patah, Pandan dan KM2 Jalan Johor Baru-Kota Tinggi.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai sekitar 4,621 waran tangkap tertunggak bagi pemandu Singapura, Superintenden Roslan berkata waran tangkap itu harus dilayan seperti saman tertunggak dan pemandu Singapura harus membayar saman itu apabila ditahan sekiranya mereka tidak mahu dikenakan tindakan lanjut.

"Polis Malaysia tidak bersifat selektif dalam menjadikan kereta asing atau kereta Singapura sebagai sasaran. Sekiranya mereka melanggar undang-undang, mereka perlu bertanggungjawab dan membayar saman itu," katanya lagi.

Beliau menggesa pemandu Singapura untuk memeriksa sama ada mereka mempunyai saman tertunggak di ibu pejabat polis trafik di Johor Bahru atau sebarang stesen polis trafik di Johor. - NST.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 33
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.