Pakar: Firma teknologi harus lindungi keselamatan siber kanak-kanak

FIRMA-FIRMA teknologi tidak melakukan sewajar dan secukupnya untuk memenuhi keperluan kanak-kanak hingga ia boleh menjejas keselamatan dan privasi mereka dalam talian, kata para penyelidik keselamatan digital.

Risiko yang dihadapi kanak-kanak dengan meningkatnya penggunaan alat-alat bergerak, media sosial dan juga mainan bijak yang dihubungkan dengan Internet telah menjadi perhatian semasa Hari Internet Lebih Selamat, lapor majalah Newsweek.

Pelanggaran peraturan keselamatan berprofil tinggi yang melibatkan alat yang dihubungkan dengan Internet telah menjadi rujukan penyelidik firma keselamatan siber F-Secure, termasuk godaman VTech pada 2015, di mana berlakunya pencurian data dari 6.4 juta kanak-kanak.

Beberapa pengeluar alat pengawasan bayi juga kini disiasat selepas laporan tentang penggodam yang telah mencerobohi kamera alat tersebut.

"Perkara yang perlu diketahui ibu bapa mengenai mainan bijak adalah ini merupakan bidang baru untuk ibu bapa dan kanak-kanak, dan juga pengeluar," kata Encik Sean Sullivan, penasihat keselamatan di F-Secure dalam satu kenyataan kepada Newsweek.

"Syarikat-syarikat lebih berminat untuk meningkatkan bilangan pelanggan mereka daripada memelihara data, jadi kita mungkin akan terus melihat keretakan dalam keselamatan mainan pintar."

Ibu bapa perlu diberikan pendedahan tentang ancaman yang semakin meningkat yang dihadapi kanak-kanak, dan banyak lagi yang perlu dilakukan oleh pengeluar untuk menjaga keselamatan, kata Encik Sullivan.

Penyelidik F-Secure, Encik Michael Albrecht, pula berkata firma-firma teknologi juga tidak melihat kanak-kanak sebagai kumpulan pengguna yang mempunyai keperluan tersendiri dan ini menjadikan ibu bapa kurang mampu untuk memastikan keselamatan kanak-kanak.

Menurutnya, firma seperti Facebook, Instagram dan Snapchat tidak akan menyukarkan sekatan usia bagi penggunaan media tersebut, jadi terpulang kepada ibu bapa untuk melibatkan diri dengan anak-anak mereka dan membantu mereka menggunakan teknologi secara positif.

"Dunia dalam mana kanak-kanak ini sedang membesar sentiasa berubah dan sukar bagi ibu bapa untuk memahaminya," tambahnya.

"Ibu bapa perlu menerima perkara ini. Pembelajaran harus berlaku dari kededua arah dan dilakukan bersama - ibu bapa boleh belajar mengenai isu yang dihadapi kanak-kanak dan kanak-kanak boleh mempelajari apa yang difahami ibu bapa, seperti bahaya berinteraksi dengan orang asing."

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 48
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.