Pakatan Harapan bentuk pemerintah baru M'sia

'PILIHAN Rakyat' telah membuka lembaran baru bagi Malaysia apabila Pakatan Harapan diberi mandat  menubuhkan kerajaan dan mentadbir negara itu.

Sehingga 4.30 pagi tadi, Pakatan Harapan berjaya memenangi 112 kerusi parlimen, jauh mengatasi Barisan Nasional (BN) yang hanya mendapat 79 kerusi.
 
Parti Islam SeMalaysia (PAS) hanya mampu memenangi 18 kerusi manakala Parti Warisan Sabah menawan 8 kerusi parlimen.
 
Pilihan Raya kali ini menawarkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
 
Parti-parti politik yang berjaya memenangi lebih separuh kerusi Parlimen akan membentuk kerajaan persekutuan manakala kejayaan menawan lebih separuh kerusi DUN pula akan membolehkan parti bertanding membentuk Kabinet bagi kerajaan negeri.
 
Kejayaan Pakatan Harapan, yang memayungi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dengan disokong Parti Warisan Sabah (Warisan) menjadi lebih manis apabila Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya menawan kerusi Parlimen Langkawi  -  selepas hampir 20 tahun ia di bawah cengkaman BN.
 
Pengerusi Pakatan Harapan itu semasa di sidang media pada 3 pagi tadi menyatakan bahawa majlis pelantikan perdana menteri akan diadakan di Istana Negara pada 10 pagi ini.
 
Pembentukan Kabinet akan dilakukan selepas itu.
 
Antara faktor utama Pakatan Harapan berupaya menumbangkan Barisan Nasional adalah disebabkan kemarahan dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, terutamanya berhubung isu penyelewengan wang pelaburan negara menerusi 1MDB, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kos kehidupan yang meningkat, kekurangan rumah yang dimampui golongan berpendapatan rendah dan kurangnya peluang pekerjaan untuk generasi muda.
 
Di samping itu, kesepaduan parti-parti pembangkang di bawah naungan Pakatan Harapan dan tarikan Dr Mahathir itu sendiri telah membolehkan rakyat mencipta sejarah yang tidak pernah diimpikan mereka.
 
Kemenangan yang dinikmati Pakatan Harapan juga bakal menyaksikan kesungguhan gagasan empat parti politik itu mendapatkan pengampunan buat mantan timbalan perdana menteri yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR),  Anwar Ibrahim, yang sekali gus membuka ruang untuknya menjadi perdana menteri.
 
Dalam pada itu, hasil kiraan undi yang dilakukan turut menyaksikan Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan di negeri Johor, Melaka, Negri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.
 
BN pula hanya dapat mengekalkan Perlis, Pahang dan Sabah, manakala PAS bukan saja berjaya mengekalkan kemenangan di Kelantan tetapi juga merampas Terengganu daripada BN.
 
Dua negeri, Perak dan Kedah, berada di kedudukan unik dengan kesemua parti tidak memperolehi kerusi yang membolehkannya membentuk majoriti mudah.
 
Di Perak, BN mahupun PAS ataupun Pakatan Harapan perlu menjalin kerjasama bagi  membentuk kerajaan.
 
Namun agak berbeza keadaannya di Kedah dengan kesemua parti tidak mempunyai kelebihan kerusi bagi  membentuk kerajaan dan perlu mendapatkan nasihat Sultan untuk pembentukan kerajaan negeri.
 
Keputusan pilihan raya menyaksikan dua pemimpin tertinggi BN,  Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan kemenangan masing-masing di Pekan dan di Bagan Datuk.
 
Namun ramai pemimpin barisan depan BN tewas, termasuk Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad di kawasan parlimen Johor Bahru.
 

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, pada  10 pagi ini bagi membincangkan pelantikan Menteri Besar dan kerajaan negeri Johor.

Kejayaan Pakatan Harapan disambut gembira oleh sesetengah warga sedang sebahagian lagi bimbang berlakunya kekacauan, apatah lagi terdapat laporan berlakunya rusuhan di beberapa tempat semasa pengiraan undi dilakukan.

Dalam hal ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati masyarakat supaya bertenang dan tidak terpengaruh dengan khabar angin kononnya wujud kacau bilau dalam negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pada masa ini situasi keselamatan dalam negara adalah kekal tenang dan terkawal.
 
 
 
 
 

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:09
Isyak
8:21
3 HR PSI: 62
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.