Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

TIMUR TENGAH

Paus 'bimbang mendalam' tentang tegang Baitulmakdis

Serangan ancam suasana saling percaya, hormat bagi sambung dialog Israel-Palestin, ujar Paus Francis dalam ucapan Easter
Apr 11, 2023 | 05:30 AM



BAITULMAKDIS: Paus Francis berkata beliau berasa "kebimbangan yang mendalam" berhubung ketegangan yang memuncak menyusuli tindakan polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa beberapa hari lalu.



Beliau berkata demikian semasa mengetuai Upacara Easter di Vatican pada Ahad, yang secara kebetulan disambut serentak dengan Paskah Yahudi dan bulan suci Ramadan.



"Saya melahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap serangan beberapa hari terakhir ini, yang mengancam suasana saling mempercayai dan saling menghormati yang diharapkan, yang diperlukan untuk menyambung semula dialog antara Israel dan Palestin, supaya keamanan dapat menyelubungi Kota Suci dan di seluruh rantau ini," katanya.



Beribu-ribu penganut Kristian, Yahudi dan Islam berhimpun pada hari itu, walaupun di tengah-tengah keganasan dalam konflik Israel-Palestin.



Sejak serbuan itu, Israel telah menyerang Gaza, Lebanon dan, baru-baru ini, Syria sebagai tindak balas kepada serangan roket yang didakwa Israel dilakukan oleh militan Palestin.



Satu serangan berasingan di Tebing Barat dan Tel Aviv meragut nyawa tiga orang, termasuk seorang pelancong Italy.



Pada Ahad, jemaah berkerumun di lorong sempit Kota Lama Baitulmaqdis, diapit oleh tentera Israel bersenjata yang dikerahkan berikutan serangan baru-baru ini.



Pengunjung gereja dibawa ke halaman Gereja Holy Sepulchre, yang dibina di atas tapak yang dipercayai orang Kristian sebagai tempat Nabi Isa disalib, dikebumikan dan dihidupkan semula.



"(Saya mempunyai) bimbang sedikit, kerana peristiwa baru-baru ini, tetapi saya tetap memutuskan untuk pergi," kata Paulius Majauskas, 50 tahun, yang berkunjung dari Lithuania.



Berhampiran gereja tersebut, beribu-ribu penganut Yahudi berkerumun di Tembok Barat untuk pemberkatan tradisi Paskah.



Cik Judy Green, 60 tahun, berkata berkat itu "indah dan sangat menaikkan semangat" ketika di Tembok Barat, tempat paling suci bagi orang Yahudi.



"Saya rasa Tuhan akan melindungi kami. Kami semua berdoa bersama-sama sebagai satu umat," katanya.



Tembok Barat terletak di Baitulmakdis timur yang dikawal Israel dan di bawah Temple Mount, tapak paling suci bagi orang Yahudi, yang dikenali oleh umat Islam sebagai Al-Haram al-Sharif.



Pekarangan itu juga menempatkan Masjid Al-Aqsa, tapak ketiga paling suci dalam Islam dan pusat tumpuan bagi sambutan Ramadan.



Seorang wartawan AFP melihat lebih 500 orang Yahudi, diiringi polis, memasuki tapak itu pada pagi Ahad manakala orang Islam solat berdekatan, tanpa sebarang pertempuran.



Umat Islam bimbang pemerintahan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mungkin mengubah peraturan lama yang membenarkan orang Yahudi melawat tetapi tidak beribadah di pekarangan Al-Aqsa, walaupun beliau menafikan perkara itu.



Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan orang Yahudi yang melawat pekarangan itu telah meningkat dan ultranasionalis kadang-kadang beribadah di sana secara sembunyi-sembunyi dan melanggar peraturan.



Polis Israel menyerbu masuk dewan solat masjid itu pada awal pagi Rabu yang mereka katakan bertujuan mengusir "belia yang melanggar undang-undang dan pelaku-pelaku bertopeng".



Serbuan itu menyusuli laporan bahawa aktivis Yahudi berhasrat untuk mengadakan korban Paskah tradisional di pekarangan itu - satu proses yang diharamkan dan yang telah dicegah oleh Rabbi tertinggi Israel.



Encik Mahmud Mansour, seorang warga Palestin beragama Islam, mengkritik tindakan polis.



"Ini tempat kami. Kami perlu duduk di sini pada waktu petang dan malam, dan ini adalah Ramadan - kami perlu solat," kata lelaki berusia 65 tahun itu kepada AFP berhampiran pekarangan masjid.



Sehari selepas serbuan itu, roket dilancarkan dari Labanon ke Israel, yang didakwa tentera Israel dilakukan oleh kumpulan Palestin.



Israel kemudian mengebom Gaza dan selatan Lebanon.



Tentera Israel juga berkata ia melancarkan serangan ke atas Syria pada pagi Ahad, selepas roket yang dilepaskan dari sana disasarkan ke Golan Heights, sebuah kawasan yang dikawal Israel.



Israel telah melancarkan ratusan serangan udara selama lebih 10 tahun perang saudara di Syria, terutamanya menyasarkan tentera yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah Lebanon, serta tentera Syria. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >