Paus, imam besar Al-Azhar adakan pertemuan di Vatican City

VATICAN CITY: Paus Francis bertemu Imam Besar Masjid Al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb, di Vatican City pada Isnin (23 Mei) dalam satu pertemuan bersejarah yang dimeterai dengan pelukan dan ciuman sangat simbolik.

Pertemuan pertama di Vatican City antara pemimpin penganut Katolik dunia dan kaum Sunni Islam itu menandakan kemuncak peningkatan ketara dalam hubungan antara dua agama tersebut sejak Paus Francis mengambil alih jawatan pada 2013.

"Pertemuan kami adalah mesejnya," kata Paus Francis dalam komen ringkas pada permulaan pertemuannya dengan Sheikh Tayeb, kata pegawai Vatican City kepada kumpulan kecil wartawan yang membuat liputan.

Dalam satu kenyataan mengenai lawatan tersebut, Al-Azhar, sebuah institusi yang termasuk pusat pendidikan berprestij, berkata Sheikh Tayeb telah menerima undangan Paus Francis untuk "meneroka usaha menyebarkan keamanan dan kewujudan bersama".

Pertemuan "sangat mesra" itu berlangsung kira-kira 30 minit, kata Vatican City dalam satu kenyataan selepas perbincangan tersebut. Imam Besar itu menghabiskan masa lebih sejam di St Peter.

Keputusan Sheikh Tayeb untuk terbang ke Rome, tanpa sembarang pengumuman dan dengan tidak disangka, menyusuli pelonggaran ketegangan serius yang berlaku semasa paus sebelum ini, Paus Benedict XVI.

Paus John-Paul II bertemu imam besar lama Al-Azhar di Kahirah pada 2000, setahun sebelum serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat, yang mengubah hubungan antara Barat dan dunia Islam.

Hubungan menjadi keruh apabila Paus Benedict, yang sekarang telah bersara, menyampaikan satu ucapan pada September 2006 di mana beliau dilihat mengaitkan Islam dengan pengganasan, mencetuskan bantahan maut di beberapa negara.

Lawatan Sheikh Tayeb merupakan kunjungan balas yang sudah lama tertangguh, dan Vatican City berkata dua pemimpin agama itu "menggariskan kepentingan besar pertemuan baru ini".

Jurucakap Vatican City, Encik Federico Lombardi, berkata dalam satu kenyataan bahawa Paus Francis dan Syeikh Tayeb "membincangkan terutamanya cabaran yang biasa dihadapi pihak berkuasa dan penganut agama-agama utama dunia".

Ini termasuk bekerja bersama bagi keamanan dunia, menolak keganasan dan pengganasan, dan keadaan serta perlindungan penganut Kristian di tengah-tengah konflik dan pengganasan di Timur Tengah.

Paus Francis menghadiahkan Sheikh Tayeb salinan satu siaran beliau baru-baru ini, 'Laudato Si', iaitu surat kepada para penganut, di mana beliau menggesa dunia supaya bangkit terhadap ancaman daripada perubahan iklim dan juga menyeru agar diseimbangkan semula hubungan ekonomi antara dunia perindustrian maju dan dunia membangun.

Timbalan Imam Besar, Dr Abbas Shuman, berkata pada Ahad bahawa Sheikh Tayeb akan membawa mesej bagi kedua-dua pihak, Barat dan umat Islam.

"Beliau menggalak negara jangan berurusan dengan rakyat mereka yang beragama Islam sebagai kumpulan yang membawa ancaman," kata Dr Shuman.

"Dan beliau menggalak orang Islam dalam masyarakat Barat supaya bersepadu dengan masyarakat mereka... Ia adalah mesej untuk kedua-dua belah pihak." - AFP

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.