PBB khuatir kesan keretakan hubungan Saudi-Iran ke atas usaha damai Syria, Yaman

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): PBB bergerak pantas pada Isnin (4 Jan) untuk melindungi usaha damai di Syria dan Yaman daripada ribut diplomatik akibat tindakan Arab Saudi memutuskan hubungan dengan Iran.

Utusan PBB bagi Syria, Encik Staffan de Mistura, pergi ke Riyadh untuk mengadakan perbincangan dan akan menuju minggu ini ke Teheran bagi mendapatkan jaminan bahawa kemajuan yang dicapai setelah usaha keras dalam proses damai Syria tidak berada dalam bahaya.

Beliau mengharapkan sokongan luas untuk melancarkan rundingan damai antara pemerintah Presiden Bashar al-Assad dan pembangkang Syria di Geneva pada 25 Januari - kemuncak usaha tiga bulan melibatkan semua pemain utama.

Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada Ahad selepas penunjuk perasaan menggeledah dan membakar kedutaan Arab Saudi di Teheran kerana marah mengenai pelaksanaan hukuman mati ke atas ulama Syiah, Nimr al-Nimr, oleh Arab Saudi.

Setiausaha Agung PBB, Encik Ban Ki Moon, bercakap melalui telefon dengan menteri luar Arab Saudi dan Iran untuk menggesa mereka supaya "mengelakkan sebarang tindakan yang selanjutnya boleh memburukkan lagi keadaan", kata jurucakap Encik Ban, Encik Stephane Dujarric.

"Hubungan yang terputus antara Riyadh dan Teheran boleh membawa akibat sangat serius bagi rantau ini," kata Encik Dujarric.

Kedua-dua negara, Iran dan Arab Saudi, mempunyai peranan penting dalam usaha diplomatik bagi menamatkan perang hampir lima tahun di Syria dan membawa penyelesaian politik untuk Yaman.

Duta Abdallah al-Mouallimi bagi Arab Saudi berkata hubungan yang putus antara negaranya dengan Iran "tidak harus mempunyai kesan kerana kami akan terus bekerja keras untuk menyokong usaha damai di Syria dan Yaman".

Beliau berkata Arab Saudi akan menghadiri pusingan seterusnya rundingan Syria, tetapi belitu juga membidas peranan Iran dalam usaha diplomatik untuk menamatkan perang di Syria.

"Iran sebelum hubungan diplomatik putus tidak memberi sokongan, tidak begitu positif dalam usaha-usaha keamanan," kata Encik Mouallimi.

Dalam perbualan dengan Menteri Luar Arab Saudi, Encik Adel al-Jubeir, Encik Ban melahirkan "kekecewaan" di atas pelaksanaan hukuman mati Nimr, yang beliau telah membangkitkan dengan Riyadh banyak kali, kata Encik Dujarric.

Walaupun ketua PBB itu berkata serangan Iran ke atas kedutaan Arab Saudi "amat dikesali", keputusan Arab Saudi untuk memutuskan hubungan dengan Teheran "amat membimbangkan", katanya kepada Mr Jubeir.

Encik Ban bercakap dengan Menteri Luar Iran, Encik Mohammad Javad Zarif, pada Ahad dan menggesa beliau melindungi kemudahan diplomatik selepas serangan ke atas kedutaan Arab Saudi.

Dengan nada untuk berdamai, Duta Iran ke PBB, Encik Gholamali Khoshroo, kesal dengan serangan itu dan berjanji dalam surat kepada Encik Ban bahawa "Iran akan mengambil langkah yang perlu untuk mengelakkan kejadian sama berlaku pada masa akan datang".

Keretakan hubungan Arab Saudi-Iran dilihat berpotensi menjadi penghalang usaha damai di Syria, yang dinobatkan sebagai satu kejayaan kerana membawa Iran dan Arab Saudi ke meja rundingan, bersama-sama Russia, Amerika Syarikat dan kuasa lain.

Teheran antara sekutu Encik Bashar manakala Riyadh menyokong militia yang menentang beliau.

Di Yaman, perikatan pimpinan Arab pada Mac melancarkan kempen udara terhadap pemberontak Syiah yang disokong Iran.

Encik Ban menggesa Arab Saudi supaya "memperbaharui komitmen bagi gencatan senjata" selepas gabungan itu mengumumkan pada Sabtu bahawa ia telah menamatkan gencatan senjata dengan pemberontak.

Duta PBB bagi Yaman, Encik Ismail Ould Cheikh Ahmed, menuju ke Riyadh pada Rabu untuk menggesa gencatan senjata diperbaharui. - AFP

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 38
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.