Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pekerja terperangkap dalam terowong India diselamatkan

Pemerintah akan jalankan audit keselamatan terowong 4.5 km
Nov 29, 2023 | 03:19 PM



SILKYARA (India): Penyelamat pada Selasa mengeluarkan kesemua 41 pekerja yang terperangkap selama 17 hari di dalam sebuah terowong runtuh di Himalaya, selepas menggerudi melalui serpihan batu, konkrit dan tanah untuk sampai kepada mereka, dan ini mencetuskan kegembiraan di seluruh India.


Usaha menyelamatkan mereka – pekerja bergaji rendah dari beberapa negeri termiskin di India – bermula lebih enam jam selepas penyelamat menembusi serpihan dalam terowong di negeri Uttarakhand itu, yang runtuh pada 12 November.

Mereka dibawa keluar menggunakan pengusung beroda, melalui paip keluli selebar 90 sentimeter, dengan keseluruhan proses selesai kira-kira sejam.

“Keadaan mereka cukup baik saja... sama seperti anda atau saya. Tiada ketegangan mengenai kesihatan mereka,” kata Encik Wakil Hassan, ketua pasukan penyelamat.

Orang pertama yang dikeluarkan, seorang lelaki pendek memakai jaket musim sejuk kelabu gelap dan topi keras kuning, dikalung dengan bunga marigold dan disambut dalam gaya tradisional India di dalam terowong itu oleh Ketua Menteri Negeri, Encik Pushkar Singh Dhami, dan Timbalan Menteri Lebuh Raya persekutuan. Encik V.K. Singh.

Ada daripada pekerja itu berjalan keluar sambil tersenyum dan dipeluk oleh Encik Dhami. Yang lain membuat isyarat terima kasih dengan menggenggam tangan atau menyentuh kaki beliau.

Semuanya dikalungkan dan turut dihadiahkan dengan kain putih oleh Encik Dhami dan Encik Singh.

“Saya ingin katakan kepada rakan-rakan yang terperangkap dalam terowong itu bahawa keberanian dan kesabaran anda memberi inspirasi kepada semua orang,” kata Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, berkata dalam siaran di platform media sosial X.

“Adalah satu kepuasan apabila setelah sekian lama menunggu, rakan-rakan kita ini kini akan bertemu orang yang mereka sayangi. Kesabaran dan keberanian yang ditunjukkan oleh semua keluarga ini dalam masa yang mencabar ini tidak dapat dihargai secukupnya.”

Encik Modi kemudian bercakap dengan para pekerja yang diselamatkan itu melalui telefon dan bertanya tentang keadaan mereka, lapor saluran televisyen, menurut agensi berita, Reuters.


Menteri Pengangkutan Jalan Raya dan Lebuh Raya persekutuan, Encik Nitin Gadkari, mengucapkan terima kasih kepada pekerja penyelamat dan berkata audit keselamatan terowong itu kini akan dilakukan.

Deretan ambulans dengan lampu berkelip di mulut terowong membawa pekerja ke hospital kira-kira 30 kilometer. Mereka dijangka pulang ke negeri asal mereka selepas doktor melakukan pemeriksaan.

“Kami gembira dan berasa lega. Saya telah memberitahu semua orang dalam keluarga kami bahawa beliau telah keluar,” kata Cik Rajni Tudu, yang suaminya, Encik Surendra, antara mereka yang terperangkap.

Penduduk tempatan berkumpul di luar terowong itu, membakar mercun, mengedarkan gula-gula dan melaungkan slogan memuji negara India.

Kegelisahan dan kesukaran para pekerja itu tidak menarik perhatian pada minggu pertama kerana ia berlaku pada hari sambutan Deepavali dan menjelang separuh akhir dan akhir Piala Dunia kriket, di mana India dijangka menang.

Bagaimanapun, kejadian itu menjadi tajuk utama India sejak itu, dan terdapat kegembiraan di seluruh negara pada Selasa, dengan ahli politik, pemain kriket bersara, pemimpin perniagaan, diplomat dan pemimpin rohani memuji usaha tersebut.

“Keselamatan saudara sekerja kita yang sedang membina India adalah amat penting. Saya tabik hormat kepada semua lelaki berani yang menjayakan kempen sukar ini,” kata ketua pembangkang, Encik Rahul Gandhi, di X.


Jutawan Anand Mahindra, pengerusi konglomerat Mahindra Group, berkata “selepas semua peralatan penggerudian canggih dikerahkan, ‘pelombong lubang tikus’ yang rendah hati itu jugalah yang membuat kejayaan penting!”

“Ini adalah peringatan yang menyentuh hati bahawa akhirnya, kepahlawanan selalunya merupakan usaha dan pengorbanan individu,” tulisnya di X.

Kesemua 41 pekerja itu mendapat makanan, air, cahaya, oksigen dan ubat-ubatan melalui paip, tetapi usaha menggali terowong itu untuk menyelamatkan mereka dengan mesin penggerudian berkuasa tinggi tergendala disebabkan beberapa masalah.

Agensi pemerintah yang menguruskan krisis pada Isnin beralih kepada “pelombong tikus” untuk menggerudi melalui batu dan kerikil dengan tangan dari dalam paip selepas penggunaan jentera gagal.

Pelombong itu pakar dalam menggunakan kaedah primitif, berbahaya dan kontroversi untuk mendapatkan arang batu melalui laluan sempit.

Julukan ‘pelombong tikus’ diberikan kerana mereka menyerupai tikus dalam menjalankan kerja menggali.

Para pelombong itu, yang dibawa dari India tengah, bekerja hingga malam Isnin dan akhirnya menembusi batu, tanah dan logam seluas kira-kira 60 meter pada petang Selasa.

“Mungkin tiada jabatan pemerintah yang tidak terlibat, ia adalah pendekatan hampir seluruh pemerintah, yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Syed Ata Hasnain, anggota Penguasa Pengurusan Bencana Negara, yang menyelia kerja-kerja menyelamat.

Terowong itu sebahagian daripada lebuh raya Char Dham yang menelan belanja $1.5 bilion, iaitu salah satu projek Encik Modi yang paling bercita-cita tinggi untuk menghubungkan empat tapak ziarah Hindu melalui rangkaian jalan sepanjang 890 kilometer.

Pihak berkuasa tidak menyatakan apa yang menyebabkan terowong tersebut runtuh, tetapi wilayah itu terdedah kepada tanah runtuh, gempa bumi dan banjir.

Terowong itu tidak mempunyai pintu keluar kecemasan dan dibina dengan cara yang salah, seorang ahli panel pakar yang menyiasat bencana itu memberitahu Reuters.


Projek Char Dham telah berdepan kritikan daripada pakar alam sekitar dan beberapa kerja dihentikan selepas ratusan rumah rosak akibat tenggelam di sepanjang laluan itu.


Pemerintah telah berkata ia menggunakan teknik mesra alam untuk menjadikan regangan yang tidak stabil secara geologi lebih selamat.


Ia juga mengarahkan Pihak Berkuasa Lebuh Raya Kebangsaan India (NHAI) mengaudit 29 terowong yang sedang dibina di seluruh India.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >