Pembantu Najib tuduh Muhyiddin tiada kewibawaan kerana 'curang dengan isteri orang'

KUALA LUMPUR: Jurucakap kerajaan Malaysia mengkritik mantan timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin pada Selasa (30 Ogos), dengan berkata dakwaan beliau baru-baru ini terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah "satu percubaan untuk mengalihkan perhatian" daripada skandal peribadinya.

Setiausaha Akhbar Datuk Seri Najib, Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, bertanya dalam satu kenyataan bagaimana Tan Sri Muhyiddin boleh dianggap berwibawa jika beliau membina reputasinya atas dasar taqwa agama tetapi "selama bertahun-tahun, melakukan kecurangan dengan isteri orang".

Tan Sri Muhyiddin, yang dipecat daripada kerajaan tahun lalu oleh Datuk Seri Najib dan baru-baru ini menubuhkan sebuah parti politik baru bersama mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa pada Ahad bahawa hampir RM1 bilion ($335 juta) sudah ada dalam akaun bank Datuk Seri Najib sebelum wang RM2.6 bilion dimasukkan.

Kerajaan Malaysia telah berkata wang RM2.6 bilion itu ada hadiah daripada seorang anggota keluarga diraja Arab Saudi sebagai derma politik.

Datuk Tengku Sariffuddin berkata Tan Sri Muhyiddin membuat tuduhan palsu.

"Bagaimana dia boleh menjadi presiden berwibawa parti baru Tun Mahathir Mohamad sedangkan sudah menjadi satu rekod mahkamah bahawa dia, selama bertahun-tahun, melakukan kecurangan dengan isteri orang?

"Kewibawaan dan perwatakan Tan Sri Muhyiddin sudah dimusnahkan. Sudah jelas dia mengajak melakukan perkara-perkara baik untuk kepentingan politik, tetapi, secara peribadi, melakukan sebaliknya."

Beberapa media dalam talian Malaysia melaporkan bahawa penulis blog politik Raja Petra Kamaruddin mendakwa pada Jun bahawa Tan Sri Muhyiddin ada hubungan sulit.

Raja Petra menerbitkan satu akuan berkanun, dikatakan oleh seorang bekas timbalan pendakwa raya yang mendakwa isterinya ada hubungan sulit dengan Tan Sri Muhyiddin. Dokumen itu dikatakan difailkan bagi prosiding perceraian, tetapi kesahihannya tidak disahkan.

Tan Sri Muhyiddin tidak komen pada Selasa mengenai kenyataan Datuk Tengku Sariffuddin, namun beliau telah menolak dakwaan itu sebagai fitnah dan tidak berasas apabila ia mula tersebar pada Jun.

Datuk Tengku Sariffuddin berkata Tan Sri Muhyiddin berasa marah tidak dapat menjadi perdana menteri kerana cubaan menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokrasi telah gagal.

Beliau menambah bahawa akaun Datuk Seri Najib telah "disiasat secara menyeluruh, dan beberapa pihak berkuasa telah memutuskan tiada undang-undang dilanggar".

Beliau mengulangi pendirian kerajaan bahawa dana dalam akaun Datuk Seri Najib adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 20
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.