Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

SIDANG PUNCAK PERINGATAN ASEAN-KESATUAN EROPAH (EU)

Pemimpin Asean, EU ingin tingkat kerjasama dalam ekonomi digital, hijau

Dec 16, 2022 | 05:30 AM



PARA pemimpin Asean dan Kesatuan Eropah (EU) mempunyai banyak minat untuk bekerjasama dengan lebih rapat, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.



Kededua kumpulan serantau telah memberikan komitmen berbuat demikian, termasuk dalam ekonomi digital dan hijau, di hari terakhir Sidang Puncak Peringatan Asean-EU sehari yang diadakan di Brussels kelmarin.



Bercakap kepada media Singapura di akhir lawatannya ke Eropah, Encik Lee berkata Asean dan EU telah mencapai banyak kemajuan tahun ini, dengan memberikan contoh Perjanjian Pengangkutan Udara Komprehensif Asean-EU sebagai satu pencapaian ketara.



Perjanjian itu adalah perjanjian pengangkutan udara yang pertama di dunia dari rantau ke rantau yang ditandatangani di Bali Oktober lalu.



Encik Lee menambah bahawa perjanjian itu telah diusahakan selama 10 tahun dengan Singapura sebagai perunding bagi pihak Asean.



"Kami sangat gembira bahawa ini telah berlaku, kerana ia bermakna lebih banyak hak udara, lebih banyak ketersambungan, lebih banyak peluang untuk ahli perniagaan, untuk pelancong melancong, yang akan membina hubungan yang lebih erat antara kedua-dua pihak," kata beliau.



Dengan perjanjian itu, syarikat penerbangan dari 37 negara anggota Asean dan EU boleh menerbangkan sebarang bilangan perkhidmatan penerbangan antara kedua-dua wilayah.



Mereka juga boleh menerbangkan sehingga 14 perkhidmatan penumpang setiap minggu dan sebarang bilangan perkhidmatan kargo melaluinya untuk ke mana-mana negara ketiga.



Encik Lee juga menyatakan kemajuan yang dicapai antara Singapura dan EU, khususnya Perkongsian Digital EU-Singapura, yang diumumkan kelmarin berikutan pertemuannya dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen.



Perjanjian itu dijangka ditandatangani secara rasmi pada awal 2023.



Kedua-dua pemimpin telah bertemu di luar sidang puncak, yang diadakan untuk menandakan dialog yang telah berlangsung selama 45 tahun antara kedua-dua kumpulan serantau.



Awal minggu ini, Encik Lee berada di bandar pelabuhan Kiel, di utara Jerman, di mana beliau melancarkan dua kapal selam Angkatan Laut Republik Singapura (RSN).



Beliau berkata kelmarin bahawa selain pakatan terbaru ini dengan Eropah, yang merupakan rakan kongsi besar, Singapura mempunyai perjanjian dalam ruang ekonomi digital dengan negara lain seperti Australia, New Zealand dan Chile.



Encik Lee menambah bahawa perdagangan digital dan ekonomi hijau akan membentuk gelombang perjanjian perdagangan seterusnya antara negara.



Beliau menyatakan bahawa Singapura mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan banyak negara dalam bidang perdagangan tradisional, tetapi kini sedang mengusahakan perkongsian dalam dua bidang baru itu.



Singapura boleh menarik perniagaan berkaitan dengan teknologi maklumat (IT) melalui perkongsian digital baru.



Ini akan memberikan Singapura lebih banyak peluang yang meliputi Eropah, tambah Encik Lee.



Encik Lee turut menyatakan bahawa EU juga melahirkan minat bekerjasama dalam aspek ekonomi hijau kerana ia secara agresif ingin pengurangan karbon bagi mencapai pelepasan sifar bersih.



Kerjasama berterusan dalam bidang digital dan ekonomi hijau juga merupakan antara perkara utama dalam kenyataan pemimpin bersama yang dikeluarkan pada akhir sidang puncak Asean-EU kelmarin.



Kenyataan itu menyatakan mereka akan menggalakkan perdagangan dan pelaburan yang mampan dan inklusif, termasuk dalam bidang penting seperti perubahan iklim, keselamatan air, serpihan marin, ekonomi hijau dan bulat, tenaga yang boleh diperbaharui dan peralihan digital.



Ia juga berkata Asean menggalakkan kerjasama EU dalam program yang bertujuan membangunkan, memperkasa dan menyokong perusahaan mikro dan kecil hingga sederhana, yang merupakan tulang belakang ekonomi Asean.



Mereka juga komited untuk menggalakkan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama seperti ekonomi digital, teknologi hijau dan perkhidmatan hijau, dan daya tahan rantaian bekalan, sambil menegaskan semula perjanjian perdagangan bebas EU dan Asean pada masa hadapan sebagai objektif jangka panjang yang sama.




"Kami sangat gembira bahawa ini telah berlaku, kerana ia bermakna lebih banyak hak udara, lebih banyak ketersambungan, lebih banyak peluang untuk ahli perniagaan, untuk pelancong melancong, yang akan membina hubungan yang lebih erat antara kedua-dua pihak."
- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >