Pemimpin kanan Republikan, Speaker Paul Ryan, jauhkan diri daripada Trump

WASHINGTON: Ketua Dewan Rakyat Amerika Syarikat menjauhkan dirinya daripada Encik Donald Trump pada Isnin (10 Okt), sedang kempen calon presiden parti Republikan itu tenggelam lebih teruk dalam krisis berhubung kenyataan seks lucahnya mengenai wanita.

Speaker Paul Ryan memberitahu satu mesyuarat tergempar rakan-rakan penggubal undang-undang Republikan beliau bahawa beliau tidak akan membela mahupun berkempen bersama Encik Trump sepanjang 30 hari hingga pilihan raya presiden dan kongres pada 8 Nov, tetapi akan memberi tumpuan melindungi majoriti Republikan di Kongres.

Komen beliau dibuat dalam sidang yang diadakan parti Republikan di Kongres, menurut sumber yang rapat dengan sidang itu.

Ia diatur untuk memikirkan cara menangani kesan daripada video yang muncul pada Jumaat (7 Okt), yang menunjukkan Encik Trump membuat komen lucah mengenai wanita pada 2005.

Encik Ryan berkata beliau akan menghabiskan baki tempoh kempen pilihan raya untuk memastikan jika calon presiden Demokrat, Cik Hillary Clinton, menang pada November, beliau tidak mendapat "cek kosong" dengan parti Demokrat turut memenangi Kongres, kata sumber itu.

Parti Republikan kini menguasai Kongres Amerika, yang merangkumi Dewan Rakyat dan Senat.

Sebagai respons, Encik Trump berkata Speaker Dewan Rakyat itu tidak harus "membuang masa beliau" menentang calon presiden parti.

"Paul Ryan perlu menghabiskan lebih banyak masa mengimbangi bajet, pekerjaan dan pendatang haram dan tidak membuang masa dalam melawan calon Republikan," kata beliau dalam siaran di Twitter.

Encik Ryan mempunyai beberapa perbezaan pendapat awam dengan Encik Trump tetapi sebelum ini menyokong hasrat beliau menjadi presiden.

Hujung minggu lalu, rentetan ahli Kongres, gabenor dan anggota terkemuka lain Republikan menggesa Encik Trump supaya berundur daripada perlumbaan menjadi presiden, disebabkan kenyataan lucah beliau tentang wanita dalam video tersebut.

Hampir separuh daripada 332 senator, ahli kongres dan gabenor sekaang Republikan telah mengutuk kenyataan Encik Trump itu, dan kira-kira 1 dalam 10 menggesa beliau berundur diri, menurut satu kajian Reuters.

Namun, sembarang percubaan menggantikan beliau sedang pilihan raya semakin hampir akan menghadapi halangan undang-undang dan logistik besar. - Reuters

Waktu Solat

Subuh
5:32
Syuruk
6:55
Zuhur
12:58
Asar
4:22
Maghrib
6:58
Isyak
8:13
3 HR PSI: 63
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 2,944.770 +1.720