Penembak California mungkin ada kaitan dengan pengganasan

SAN BERNARDINO: Lelaki Islam kelahiran Amerika Syarikat yang bersama isterinya menembak mati 14 orang di California mungkin telah menjadi radikal dan telah berhubungan dengan suspek keganasan yang diketahui, menurut laporan media hari ini, Jumaat (4 Disember).

Biro Siasatan Federal (FBI), yang memberi amaran masih terlalu awal untuk mengaitkan serangan itu dengan keganasan, telah mengambil alih siasatan kejadian tembak beramai-ramai di San Bernardino, kelmarin.

Ejen FBI mencari bukti untuk menentukan apa yang mendorong Syed Farook, 28 tahun, dan isterinya Tashfeen Malik, wanita Pakistan berusia 27 tahun, menjalankan serangan yang turut mencederakan 21 orang.

Pegawai penguatkuasa undang-undang yang ditukil The New York Times berkata FBI menganggap serangan itu sebagai kemungkinan tindakan pengganas, tetapi agensi itu jauh daripada membuat kesimpulan tersebut dan motifnya masih tidak jelas.

CNN, yang menukil beberapa pegawai, berkata Farook telah berhubungan dengan suspek pengganas yang diketahui di luar negara dan menjadi radikal selepas mengahwini Malik di Arab Saudi tahun lepas, walaupun seorang imam di sebuah masjid setempat yang dihadirinya berkata Farook tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda seperti itu.

FBI - yang menyelidik telefon bimbit dan cakera keras komputer pasangan itu - mempunyai bukti bahawa Farook telah berhubungan dengan pelampau di dalam dan luar negara beberapa tahun lalu, lapor the Times, menukil pegawai kongres yang diberi taklimat mengenai siasatan itu. - AFP

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 39
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.