Peniaga 'vape' Kelantan kerugian $16.3 juta

Kerajaan negeri arah peniaga e-rokok kosongkan premis dalam masa 14 hari

KOTA BHARU (Kelantan): Lebih 350 peniaga rokok elektronik atau vape dijangka mengalami kerugian kira-kira RM50 juta ($16.32 juta) ekoran keputusan kerajaan Kelantan yang ditadbir Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengharamkan penjualan barangan tersebut di negeri ini berkuat kuasa awal tahun depan.

Ini setelah Kerajaan Kelantan membuat keputusan muktamad mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini berkuat kuasa 1 Januari ini.

Presiden Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Malaysia (PPVMM) Kelantan, Encik Mohd. Azlee Che Mohd Zaid berkata, ini kerana pihaknya mengeluarkan modal yang tinggi mencecah ratusan ribu ringgit untuk memulakan perniagaan tersebut.

Justeru, beliau yang mewakili ahli pertubuhan itu merayu kepada kerajaan Pas Kelantan supaya mengkaji semula keputusan untuk mengharamkan penjualan vape di negeri ini demi kelangsungan hidup mereka.

"Kita juga harap kerajaan negeri dapat memberi lebih masa kepada peniaga untuk menghabiskan stok peranti dan cecair vape terlebih dahulu sebelum penguatkuasaan tersebut dilakukan.

"Masa yang kerajaan negeri beri kepada peniaga untuk mengosongkan premis masing-masing dalam tempoh 14 hari cukup singkat dan tidak mencukupi.

"Modal yang digunakan untuk membuka sebuah kedai mencecah sehingga RM200,000. Peniaga juga perlu diberi masa untuk ambil kembali modal yang mereka telah laburkan sementara mencari peluang perniagaan lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berhubung isu penjualan vape kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Kerajaan Pas Kelantan hari ini memutuskan untuk mengharamkan dan tidak mengeluarkan sebarang lesen penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini.

Datuk Abdul Fattah ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, serentak dengan itu, kerajaan negeri juga telah mengeluarkan notis selama 14 hari kepada peniaga vape supaya mengosongkan premis masing-masing bermula hari ini.

Malah tindakan tegas termasuk menyita premis perniagaan itu akan diambil sekiranya para peniaga masih berdegil.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya penggunaan semua produk vape diharam­kan di seluruh negeri itu dan memberi tempoh sebulan kepada pengusaha premis peranti berkenaan untuk menamatkan operasi tanpa alasan.

Bagaimanapun setakat ini, beberapa negeri termasuk kerajaan yang ditadbir Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, kerajaan negeri Kedah, Perlis dan Melaka memutuskan untuk tidak mengikut langkah Johor mengharamkan penggunaan semua produk vape di negeri itu bermula tahun depan.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.