Pentagon akan pindah beberapa tahanan Guantanamo ke negara lain dalam beberapa hari ini

WASHINGTON: Pentagon merancang memindahkan kira-kira sedozen penghuni penjara tentera Guantanamo ke sekurang-kurangnya dua negara yang bersetuju mengambil mereka, kata seorang pegawai Amerika Syarikat pada Rabu (30 Mac).

Ia langkah terbaru dalam usaha akhir Presiden Barack Obama menutup penjara tersebut.

Pemindahan pertama dijangka dilakukan dalam beberapa hari ini dan yang lain beberapa minggu akan datang, kata pegawai itu, yang bercakap dengan syarat namanya tidak disiar.

Antara tahanan itu ialah Tariq Ba Odah, seorang lelaki Yaman yang melancarkan mogok lapar jangka panjang dan kehilangan kira-kira separuh daripada berat badannya.

Kini terdapat 91 tahanan di pangkalan tentera laut Amerika di Guantanamo Bay, Cuba. Kebanyakan mereka ditahan lebih 10 tahun tanpa dikenakan tuduhan atau dibicarakan, hingga menarik kecaman antarabangsa.

Encik Obama, yang bulan lalu membentangkan di Kongres satu pelan tindakan untuk menutup penjara itu, sedang berusaha memehuni ikrar lamanya sebelum meninggalkan pejabat pada Januari depan.

Bagaimanapun, beliau menghadapi tentangan hebat daripada banyak penggubal undang-undang Republikan, serta beberapa rakan Demokrat beliau.

Pentagon telah memberitahu Kongres mengenai rancangan pemindahan terkininya, melibatkan 37 tahanan yang sudah diperiksa untuk dihantar ke negara asal mereka atau negara lain, kata pegawai itu.

Para pegawai Amerika berkata sebelum ini mereka berharap dapat memindahkan semua tahanan daripada kumpulan itu menjelang musim panas ini.

Rancangan Encik Obama hendak menutup penjara itu termasuk memasukan beberapa baki tahanan ke penjara keselamatan maksimum di Amerika. Bagaimanapun, undang-undang negara itu melarang sembarang pemindahan, dan Encik Obama tidak menolak melakukannya dengan menggunakan tindakan eksekutif.

Tahanan paling menonjol dalam kalangan mereka yang akan dipindahkan tempoh beberapa minggu akan datang ialah Ba Odah, 37 tahun, yang kini dipaksa makan melalui tiub hidung selepas beliau melancarkan mogok makan makanan pepejal pada 2007.

Berat badannya berkurangan kepada 33 kilogram daripada 148 kilogram dan pasukan peguamnya bimbang beliau boleh mati kebuluran, menurut Reuters pada akhir Disember lalu.

Tahanan Guantanamo ditangkap di luar negara apabila Amerika terbabit dalam perang di Iraq dan Afghanistan menyusuli serangan 11 Sep 2001 pengganas ke atas New York dan Washington.

Penjara itu dibuka oleh mantan presiden George W. Bush dan kini menjadi lambang amalan penahanan agresif yang membuat Amerika dituduh melakukan penyeksaan. - Reuters

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 85
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.